Jaga penjarakan sosial di premis perniagaan

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Inisiatif para peniaga yang mengehadkan jumlah pelanggan untuk memasuki kedai adalah salah satu langkah yang dipuji dalam usaha pihak berkenaan bagi mengurangkan kesesakan dalam sesebuah kedai selain membendung sebarang penularan jangkitan.

Ia merupakan perkara penting untuk diberikan perhatian dalam memastikan penjarakan sosial dan pelanggan yang masuk serta keluar dari premis mematuhi langkah-langkah pengawalan termasuk mengimbas kod BruHealth dan memakai pelitup muka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menyatakan perkara itu, ketika mengulas mengenai jika pihak kerajaan akan menetapkan beberapa peraturan kepada perniagaan tertentu seperti jumlah pekerja bertugas pada satu-satu masa berpandukan kapasiti ruang kedai atau waktu operasi semasa sidang media hari ini.

Beliau menambah bahawa kawalan seumpamanya adalah tertakluk kepada pertimbangan ruang kedai berkenaan dan juga pekerja yang bekerja dalam kedai itu di mana jika mereka adalah daripada sebuah keluarga yang tinggal bersama, maka tidak perlu penjarakan tetapi berinteraksi seperti biasa.

Jika mereka adalah pekerja daripada kediaman yang berbeza, adalah penting bagi mereka untuk mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka untuk mengelak penularan jangkitan.

Perkara itu, ulasnya lagi, tidak memerlukan dasar daripada pihak kerajaan seperti bagi sesuatu keluasan ruang dan berapa ramai orang dibenarkan tetapi tertakluk kepada operasi masing-masing dengan menggunakan pertimbangan mereka untuk memastikan terdapat penjarakan fizikal.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan syif, beliau berkata jika petugas berkenaan bekerja bersama-sama dan jika syif dikurangkan, ia tidak akan memberikan banyak perbezaan tetapi yang mustahak adalah terdapat penjarakan fizikal dan menggunakan pelitup muka.

Para pelanggan yang berbelanja di Maju Grocer juga mengamalkan penjarakan sosial ketika berada di premis perniagaan itu.