Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Jaga tutur kata dalam media sosial

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menasihatkan umat Islam agar jangan sekali-kali menyalahgunakan nikmat pancaindera yang dikurniakan dan diamanahkan oleh Allah seperti jari dan juga tangan untuk menyakiti orang lain dengan menyebarkan fitnah, keaiban dan seumpamanya.

    “Kerana sebahagian daripada kita mengambil ringan dan memandang mudah kepada perkara itu, namun pernahkah kita terfikir atau terdetik di hati, setiap perbuatan yang dilakukan itu akan dipertanggungjawabkan di kemudian hari oleh Allah,” katanya dalam khutbah yang bertajuk ‘Waspada Dosa dan Pahala di Hujung Jari’.

    Allah mengurniakan pancaindera seperti lidah dan tangan untuk melakukan ibadah kepadaNya dan juga melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada manusia dan makhluk sekalian dan bukannya untuk melakukan perkara-perkara dosa, mungkar dan maksiat.

    “Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan agar tidak mudah terjebak melakukan perkara dosa,” katanya.

    Ini tidak terkecuali perkara-perkara yang dilakukan oleh anggota badan seperti jari-jemari, tegas khatib.

    Katanya lagi, “Budaya Internet kini menjadi satu teknologi yang paling pesat berkembang malah ia dilihat sebagai satu keperluan manusia pada masa kini dan antara kemudahan yang sering digunakan dan semakin berkembang pesat, ialah penggunaan media sosial.”

    Melalui kemudahan media sosial ini telah semakin memudahkan perhubungan dan interaksi sehingga boleh dikatakan segala informasi dan maklumat boleh dikesan melalui hujung jari.

    Bukan setakat itu, tambahnya, perkembangan kemudahan teknologi komunikasi ini memiliki banyak caranya dan ini kerana media sosial itu sekiranya digunakan dengan niat yang betul, ia akan membawa kepada manfaat dan kesejahteraan hidup.

    “Tapi sekiranya media sosial disalahgunakan, ia akan membawa kepada perkara yang sia-sia dan merugikan,” tegasnya.

    Sebagai pengguna yang bijak dan bertanggungjawab, jelas khatib, ada beberapa perkara yang perlu dijaga ketika berkomunikasi dan berinteraksi dalam media sosial ini.

    Ini antaranya, menggunakan media sosial sebagai wahana atau saluran berkongsi maklumat dan perkara yang baik.

    Selain sentiasa mengamalkan tabayyun atau budaya semak sebelum sebar kerana dikhuatiri informasi, berita dan maklumat yang dikongsikan adalah palsu dan tidak benar.

    Khatib seterunya mengingatkan, sekiranya maklumat yang diterima tidak dapat dipastikan kesahihan atau kurang bermanfaat untuk dikongsikan, sebaiknya maklumat itu diketepikan saja dan tidak perlu dikongsikan.

    “Di samping itu, kita juga perlu menjaga tutur bicara dan perkataan dengan sentiasa memastikan setiap yang dilafazkan atau kata-kata yang ditulis itu sesuatu yang elok, baik dan betul,” tambahnya.

    Selain menjaga batas perlakuan dalam media sosial dan sebagai umat Islam, hendaklah sentiasa menjaga perbualan dengan bukan mahram bagi mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan kemudaratan di kemudian hari.

    Khatib turut mengingatkan, sebagai umat Islam hendaklah sentiasa muhasabah diri dan berwaspada dalam setiap tindakan supaya tidak mudah melakukan dosa terutama ketika berinteraksi dan berkomunikasi di media sosial.

    Terdahulu khatib mengatakan agama Islam adalah agama persaudaraan, agama yang sangat mementingkan ukhuwah dan mahabbah iaitu kasih sayang sesama insan.

    Antara panduan dan bimbingan yang telah digariskan dalam agama kita bagi menjaga ikatan ukhuwah dan mahabbah itu ialah dengan sentiasa menjaga diri daripada menyakiti orang lain sama ada dari segi tutur kata mahupun tingkah laku.

    “Dari itu sama-samalah kita berdoa, semoga Allah SWT sentiasa melindungi diri kita daripada melafazkan tutur kata dan daripada melakukan tingkah laku yang boleh mengundang dosa dan kemurkaan Allah,” kata khatib semasa mengakhiri khutbahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...