Jaguh lompat jauh, Abdul Latif dijangka pulih dua bulan

KUALA LUMPUR, 12 SEPT – Jaguh lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) Malaysia, Abdul Latif Romly dijangka pulih daripada kecederaan dialaminya di Sukan Paralimpik Tokyo, baru-baru ini, dalam masa dua bulan lagi.

Jurulatihnya Shahrul Amri Suhaimi berkata buat masa ini pemenang emas Sukan Paralimpik Tokyo itu telah menunjukkan perkembangan baik dan sudah boleh menggerakkan bahagian kaki kirinya yang mengalami kecederaan ‘groin’, sedikit demi sedikit.

“Abdul Latif dijangka menerima rawatan selanjutnya di Bukit Jalil selepas beliau tamat menjalani tempoh kuarantin di sebuah hotel di sini.

“Beliau juga akan menerima suntikan di bahagian kaki kirinya yang mengalami kecederaan di Bukit Jalil selepas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada aksi final di Stadium Olimpik Tokyo 4 September lepas, Abdul Latif yang memenangi emas pertamanya di Rio 2016, berada dalam kelas tersendiri apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26 meter (m), yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo. – Bernama