Jakarta banjir lagi

JAKARTA, 25 FEB – Puluhan kawasan di bandar Jakarta hari ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak malam tadi, hingga menjejaskan aktiviti harian warga kota yang mempunyai penduduk lebih 10 juta orang.

Kawasan Istana Presiden Indonesia di Jakarta Pusat, turut digenangi air beberapa sentimeter, namun dilaporkan telah surut 7 pagi ini.

Setakat 10 pagi ini, menurut laman twitter Polis Jakarta @TMCPoldaMetro, beberapa jalan raya di Jakarta, termasuk beberapa laluan memasuki lebuh raya ke Bekasi dan Tengerang, tidak dapat dilalui kenderaan berikutan dinaiki air sehingga satu meter.

Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api juga dilaporkan terjejas berikutan laluan perkhidmatan itu ditenggelami air.

Perusahaan Listrik Negara (PLN) turut memutuskan bekalan elektrik di lebih 800 kawasan penempatan penduduk, sebagai langkah mengelakkan berlakunya renjatan elektrik.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia meramalkan hujan lebat akan berterusan  sehingga Mac ini.

“Jadi, banjir kemungkinan besar akan merebak,” kata jurucakap agensi Agus Wibowo di Twitter.

Bandar Jakarta cenderung dilanda banjir semasa musim hujan yang bermula pada November.

Hujan lebat pada Januari mencetuskan banjir dan runtuhan tanah yang membunuh hampir 70 orang di sekitar Jakarta sementara ribuan lagi terpaksa berpindah ke pusat perlindungan. – Bernama/AFP

Pemandu kereta dilihat terperangkap di jalan raya yang dibanjiri selepas hujan lebat di Bekasi, Java Barat kelmarin. – AFP