Jakarta ‘lockdown’ semula, BCL bersama anak ambil kesempatan ziarahi pusara Ashraf Sinclair

Penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) mengambil peluang menziarahi pusara suaminya Allahyarham Ashraf Sinclair selepas kerajaan Indonesia membuat keputusan kembali melaksanakan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) bermula hari ini, 14 September.

Ibu BCL, Emmy Syarif memuat naik foto menemani penyanyi itu dan cucunya Noah Sinclair menziarahi kubur Ashraf pada Sabtu lalu.

Ashraf yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu memberikan kesan yang mendalam buat BCL apabila dia kerap mengubati kerinduan dengan menziarahi pusara suaminya itu di San Diego Hills.

“#Alfatihah utk dady Ash#menjelang psbb#,” tulis Emmy.

Menerusi foto tersebut BCL kelihatan sedikit susut duduk di samping kubur Ashraf, dia hadir lengkap mengenakan pelitup muka dan face shield mengikut SOP ditetapkan kerajaan negara itu.

Foto lain juga memperlihatkan Noah duduk sambil menadah tangan membacakan doa untuk bapanya.

Indonesia membuat keputusan melaksanakan PSBB kembali di Jakarta selama dua minggu mulai esok berikutan kes positif COVID-19 yang meningkat semakin mendadak di provinsi itu. –Agensi

BCL ambil kesempatan menziarahi kubur Ashraf sebelum Jakarta laksanakan PSBB. – Agensi