LONDON, 11 Jun – Jaket bunuh diri palsu yang dipakai oleh penyerang dalam serangan London Bridge diperbuat menggunakan botol air pakai buang yang dipasang pada tali pinggang kulit, dedah polis hari ini.
“Saya belum pernah melihat taktik ini di UK sebelum ini, di mana pengganas mencetuskan ketakutan maksimum dengan membungkus bahan letupan palsu pada diri mereka,” kata komander polis, Dean Haydon, yang mengetuai siasatan itu.
Angkatannya menyiarkan gambar botol-botol berpita kelabu dan hitam yang berlumuran darah, dengan diikat bersama tali pinggang berwarna coklat.
“Sesiapa yang menyaksikan mereka pada malam itu mungkin berfikir alat tersebut adalah benar. Ia adalah sukar untuk membuat spekulasi apa motif memakai tali pinggang berkenaan,” kata Haydon dalam satu kenyataan.
“Ia mungkin boleh jadi mereka mempunyai rancangan untuk mengadakan serangan kepungan atau ia mungkin menjadi apa yang mereka saksikan sebagai satu perlindungan diri daripada ditembak.”
Khuram Butt, Rachid Redouane dan Youssed Zaghba membunuh lapan orang pada malam Sabtu lepas selepas memandu sebuah van yang kemudian merempuh ke arah pejalan kaki dan mula menikam sembarangan di kawasan popular. Mereka kemudian ditembak mati oleh polis.
Ia adalah serangan ganas ketiga di Britain dalam beberapa bulan, dan didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State (IS).
Haydon turut memuji keberanian pegawai polis dan anggota orang awam yang berjaya menangani lelaki-lelaki berkenaan.
Polis menangkap 20 orang selepas serangan itu dan tujuh lagi kekal ditahan hari ini.
Pada awalnya ia mendedahkan yang penyerangnya telah menyediakan sejumlah bom botol dan cuba untuk menyewa sebuah trak daripada sebuah van untuk merempuh pejalan kaki.
Pegawai forensik yang memeriksa kenderaan mereka mendapati ’13 botol wain yang dibungkus dengan pakaian koyak dan dipercayai dipenuhi dengan cecair mudah terbakar,” serta dua penunu bagas, kata polis. – AFP