Jakie Wong positif hidap COVID-19

KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong disahkan masih menghidap jangkitan COVID-19 selepas hampir sebulan menjalani tempoh pengasingan dan rawatan di Hospital Sibu, Sarawak sejak 16 Mac lepas.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan balingan sejauh 67.01 meter (m) itu berkata sampel ujian COVID-19 terbaharu yang diambil semalam menunjukkan keputusan positif.

Menurut Jackie, 27, meskipun disahkan masih positif, tahap kesihatannya bertambah baik dari semasa ke semasa dengan beberapa gejala seperti selesema dan batuk telah berkurangan.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu berkata penyakit asma yang dihidapi mungkin sedikit mempengaruhi tahap kesihatannya, namun keadaan itu sehingga kini tidak memerlukan beliau menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Saya tidak dapat pastikan sudah tujuh atau lapan kali ujian dilakukan ke atas saya sejak masuk ke sini (Hospital Sibu). Ujian paling terbaharu adalah semalam dan pada tengah hari tadi doktor sahkan keputusannya positif.

“Gejala seperti batuk masih ada sehingga kini tapi semakin berkurangan. Setakat ini kesihatan saya semakin meningkat cuma asma saya mungkin sedikit menyukarkan keadaan tetapi ia masih terkawal tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. – Bernama