Jalan hubung rumah panjang di Baram dijangka siap 2026

BARAM, SARAWAK, 31 OKT – Jaringan jalan raya dari Miri yang menghubungkan rumah-rumah panjang di kawasan pedalaman yang terdapat di Baram di sini dijangka siap menjelang 2026, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Menurut beliau, di bawah perancangan Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), jaringan jalan raya yang bermula dari Miri ke kawasan pedalaman Baram itu akan lengkap dengan pembangunan sebuah jambatan yang kini dibina menghubungkan Marudi dan Baram.

“Apabila siap kelak, jalan raya itu akan melalui kawasan Long Terawan yang jaraknya melebihi 70 kilometer serta akan melalui beberapa rumah panjang dan kampung antaranya Long Panai, Long Lama dan Long San.

“Dengan adanya jalan raya itu, sektor pertanian dapat dibangunkan kerana sudah mempunyai akses logistik manakala sektor pelancongan akan memberi impak yang tinggi kepada ekonomi masyarakat di Baram,” katanya kepada pemberita. – Bernama

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunjukkan peta Jaringan Jalan raya yang menghubungkan rumah panjang di pendalaman Baram pada majlis ‘Ngereng Jihe Uma Maring’ iaitu acara adat memasang tiang untuk membina rumah panjang Rumah Temenggong Elizabeth Deng, Long Laput. – Bernama