Jalan Ngungun-Temalat dijangka siap lebih awal

SONG, 11 SEPT – Pembinaan jalan sepanjang 9.6 km yang menghubungkan Ngungun (Kanowit) dan Temalat (Song) berkemungkinan dapat disiapkan lebih awal daripada jadual, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James Jemut Masing.

“Tarikh akhir penyiapan jalan dijadualkan pada Ogos tahun hadapan. Kami diberitahu oleh perunding dan kontraktor bahawa pembinaan projek ini mungkin disiapkan lebih awal daripada jadual.

“Sebaik sahaja jalan yang dikatakan laluan yang hilang bagi menghubungkan Kapit dan kawasan lain di Sarawak, kawasan itu tidak lagi menjadi ‘pulau’.

“Tetapi apa yang penting adalah bagaimana orang ramai akan menggunakan jalan ini, bukan hanya menggunakannya sebagai laluan untuk bergerak dari Point A ke Point B. Persoalannya adalah bolehkah anda gunakannya untuk keperluan anda,” katanya selepas melawat tapak pembinaan jalan itu di Ngungun hari ini.

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata sebelum jalan itu siap sepenuhnya, pengguna tidak dibenarkan menggunakan jalan raya kerana ia akan mengganggu kerja-kerja pembinaan. – Bernama