Jalani ibadah korban dengan normal baharu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Meskipun pandemik COVID-19 di negara ini masih dalam keadaan terkawal, penduduk di negara ini digesa untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi menjaga keselamatan diri dan orang yang berada di sekeliling bagi terus mengekang penularannya.

Walaupun dunia sekarang masih lagi diancam koronavirus, namun Negara Brunei Darussalam diberi kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan sedikit perbezaan dan dalam normal baharu berbanding tahun sebelumnya. Khatib dalam khutbah Hari Raya Aidiladha, kelmarin, menyatakan, di sebalik berlakunya jangkitan pandemik ini, terdapat pelbagai hikmah dari sudut positif yang dapat diambil daripada wabak ini antaranya ialah ia dapat meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan, institusi kekeluargaan menjadi semakin kukuh dan memberikan lebih banyak ruang kepada para individu untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Selain itu, ia juga dapat menyemai sifat mahmudah seseorang itu dengan melakukan amalan bantu-membantu dalam kalangan masyarakat tanpa mengira darjat mahupun agama semasa berdepan dengan wabak COVID-19.

“Kita telah melihat lebih ramai individu dalam kalangan masyarakat kita untuk tampil ke hadapan bagi memberikan bantuan dan sokongan kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan dalam pelbagai bentuk seperti mengorbankan masa, harta benda, fikiran, tenaga dan seumpamanya,” jelas khatib.

Khatib seterusnya menambah antara lain hikmah berlakunya pandemik ini ialah memupuk sifat taat dan patuh pada peraturan, di mana agama kita sendiri mewajibkan umatnya supaya mentaati dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh pemimpin selagi mana ianya tidak bertentangan dengan perintah Allah SWT.

Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Raya Aidiladha dengan sedikit perbezaan dan dalam normal baharu berbanding tahun sebelumnya. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Krisis wabak ini telah memupuk sifat penduduk Brunei supaya sentiasa taat dan patuh pada saranan, nasihat-nasihat dan larangan-larangan yang telah diberikan oleh pihak-pihak yang berwajib bagi membendung dan mengekang penularan wabak ini, antaranya seperti melakukan penjarakan sosial, menggunakan pensanitasi tangan memakai penutup mulut dan hidung, memeriksa suhu badan dan sebagainya,” tambahnya.

Khatib dalam khutbah Aidiladha kali kedua seterusnya menyentuh mengenai dengan kebaikan tentang ibadah korban. “Menjalankan ibadah korban merupakan salah satu perkara yang dituntut dalam Islam bagi mereka berkemampuan sebagai tanda syukur dan cinta terhadap Allah SWT serta memperingatkan peristiwa ketaatan dan kesabaran Nabi Ibrahim AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT sehingga sanggup mengorbankan anak kesayangannya sendiri Nabi Ismail AS,” jelasnya.

Khatib menjelaskan hukum berkorban itu adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut dan digalakkan untuk dilakukan ke atas umat Islam iaitu bermula pada 1 Zulhijah (selepas menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha) hinggalah 13 Zulhijah.

Memandangkan pada masa ini langkah-langkah kawalan penularan pandemik masih dikuatkuasakan, oleh itu kita hendaklah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan dengan berpandukan nasihat dari Kementerian Kesihatan. Pematuhan kepada garis panduan ini adalah penting, memandangkan masih ada kekhuatiran mengenai bahaya jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, jelasnya.

“Ibadah korban hanya dilakukan setahun sekali iaitu pada bulan Zulhijah, maka amat beruntunglah bagi orang-orang yang dapat melaksanakannya. Semoga orang-orang yang melaksanakan ibadah korban mendapat ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan mudah-mudahan segala amal kebajikan yang kita lakukan atas dasar keikhlasan, keimanan dan ketakwaan itu diterima Allah SWT dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda,” tambah khatib.