Jalani pembedahan lesung pipit untuk cerahkan senyuman

GAZA – Apabila Shoruk Shaheen memandang cermin, dia menyukai apa yang dilihatnya, terutamanya perubahan pada wajahnya selepas prosedur kosmetik yang semakin popular di Gaza, pembedahan mencipta lesung pipit.

Penduduk wilayah Palestin yang memakai kasut putih dengan logo Dior dan memegang beg Louis Vuitton menjalani prosedur itu sebulan lalu di sebuah klinik di pusat bandar Gaza.

“Jika awda mempunyai senyuman yang cantik maka awda seorang yang cantik,” kata pengurus komunikasi berusia 26 tahun itu, yang matanya tetap tertumpu pada cermin sambil mengagumi lekukan baharu di pipi kirinya.

Pembedahan penciptaan lesung pipit dilakukan di seluruh dunia tetapi mempunyai daya tarikan khusus di Gaza, disebabkan kosnya yang rendah dan selamat. Prosedur yang mahal dan berisiko menjadi masalah di Gaza, wilayah yang sangat miskin dengan sistem penjagaan kesihatan yang lemah dan di bawah sekatan Israel sejak 2007, tahun kumpulan Islam Hamas mengambil alih kuasa.

Mencipta lesung pipit tiruan adalah “sangat mudah, sangat cepat” dan membawa sedikit risiko, kata pakar bedah Shaheen, Jalaa El Talmas kepada AFP.

Pakar bedah plastik Palestin Jalaa el-Talmas menunjukkan lesung pipit yang baharu dicipta di muka Shoruk Shaheen di kliniknya. – AFP
Shoruk Shaheen, seorang wanita Palestin yang telah menjalani pembedahan mencipta lesung pipit, tersenyum sambil melihat cermin di sebuah klinik di Kota Gaza. – AFP

Semasa melakukan prosedur yang mengambil masa hanya 10 minit, Talmas berkata dia menggunakan anestetik tempatan pada pipi dan mulut sebelum membuat hirisan sedikit pada otot zygomaticus yang memanjang dari tulang pipi ke mulut. Talmas berkata dia melakukan prosedur lesung pipit untuk beberapa wanita muda setiap bulan, kebanyakan mereka memintanya selepas melihat keputusan pada rakan dan saudara mereka.

“Mereka fikir ia menjadikan wanita lebih menarik, apabila dia ketawa, apabila dia bercakap, dia menjadi lebih menarik,” katanya mengenai pelanggannya.

Tidak menjadi masalah

Talmas, yang pernah bekerja di luar negara, berkata dia percaya prosedur itu lebih popular di kalangan rakyat Gaza berbanding wanita Arab lain di Timur Tengah. Wanita Gaza menyedarinya daripada mereka yang pergi ke Mesir dan Teluk, menurut doktor. Ia berharga AS$30 hingga AS$45 setiap pipi berbanding dengan beribu-ribu di beberapa klinik Barat.

Shaheen bermula dengan hanya pipi kirinya, tetapi berkata dia merancang untuk melakukan sisi lain. Selain murah, penciptaan lesung pipit kosmetik tidak akan mencetuskan ketawa oleh prosedur seperti implan payudara dalam masyarakat konservatif yang diperintah Islam. Lesung pipit ‘bukan masalah’, kata Shaheen sambil menjelaskan prosedur itu tidak mengundang stigma sosial.

Di pusat estetika Victoria, yang menghadap ke taman kota Gaza dengan deretan pokok palma yang terawat, doktor Hassan Ali Aljaish memberitahu AFP dia tidak melihat sebarang masalah dengan prosedur yang membawa ‘sedikit kebahagiaan’ kepada wanita yang hidup dalam masyarakat yang penuh dengan kesusahan, terutamanya sekatan itu. – AFP