Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Jalani pengasingan diri dengan aktiviti bermanfaat

    Oleh Yusrin Junaidi

    COVID telah membuatkan banyak prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan dalam usaha memastikan keselamatan rakyat dan penduduk di seluruh dunia dan tidak ketinggalan di negara ini, dan semestinya, bila ada SOP, menjadi tanggungjawab untuk mematuhi dan mempraktikkannya.

    Melalui pelbagai medium berita, media sosial dan sebagainya, kita diuar-uarkan mengenai SOP, antaranya apabila dijangkiti COVID, arahan untuk Perintah Pengasingan Diri di Rumah perlu diikuti.

    Ini bermakna, sama ada di rumah-rumah atau pusat-pusat pengasingan, kita dilarang daripada bertemu atau bergaul dengan orang lain ketika sah positif COVID.

    SOP apabila dalam pengasingan juga meliputi penggunaan pelitup muka, membuat pemeriksaan suhu badan dan pemeriksaan menggunakan ujian pantas antigen (ART) bagi mengawasi keadaan kesihatan menuju proses penyembuhan.

    Penulis berkesempatan menemu bual beberapa orang bekas pesakit COVID, antaranya Awang Raduanddy bin Haji Karim yang menjelaskan, pengalaman dijangkiti COVID agak mencabar dan merisaukan. Namun beliau berterima kasih dengan sistem komunikasi di negara ini, ia telah memudahkan dirinya menghubungi ibu bapa, adik-beradik, jiran dan rakan-rakan.

    Awang Raduanddy mengongsikan komunikasi dengan ibu bapa dan adik-beradik serta rakan-rakan amat perlu semasa pengasingan bagi memastikan kita kuat semangat.
    Dayang Rozita melalui QO dengan berfikiran positif dan banyak mengamalkan vaksin ketuhanan.
    Varian Omicron menyaksikan peningkatan kes di seluruh dunia dan pada Mac lalu, Brunei merekodkan jangkitan harian yang mencecah ribuan kes.

    Menurutnya, apabila dijangkiti, kita hendaklah terlebih dahulu bertenang kerana jika panik, banyak perkara akan terlepas pandang sehingga menyukarkan pihak berkenaan dan keluarga membantu menghulurkan bantuan serta meniup semangat tinggi kepada kita.

    Seorang lagi bekas pesakit COVID, Dayang Rozita binti Mohd Salleh menyatakan pengasingan diri di rumah atau QO dilaluinya dengan lebih baik dan proaktif.

    Beliau berkata, orang yang dikenakan pengasingan diri perlu bijak menggunakan waktu mereka, termasuk cara kita melihat jangkitan tersebut.

    “Alhamdulillah, sepanjang pengasingan diri di rumah, saya dan keluarga banyak mengamalkan vaksin ketuhanan seperti berwirid, membaca Al-Quran, berdikir, solat dan amalan keagamaan lain serta dapat mengharunginya dengan baik.

    Menurutnya, dijangkiti COVID akan menyaksikan kita mendapat gejala demam, sakit-sakit badan, terganggu aktiviti harian dan apabila sembuh, kesannya akan masih terasa namun akan merasa lebih baik berbanding semasa dijangkiti.

    Beliau turut menyeru orang ramai untuk bersama-sama menjaga SOP agar kita dapat melandaikan dan membasmi wabak tersebut melalui perpaduan dan komitmen semua pihak dan dapat menjalani hidup normal sekali lagi.

    Pada pendapat penulis, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil berat bagi persediaan jika dijangkiti koronavirus dan sebarang kemungkinan dijangkiti. Ia termasuklah bersiap sedia dengan simpanan ubat-ubatan ringan dan juga makanan hanya dalam beberapa hari agar kita tidak merasa cemas sebelum menerima bantuan seterusnya daripada pihak yang berwajib atau saudara mara.

    Begitu juga dengan keperluan penting bagi anak-anak damit jika ada seperti susu tepung, lampin pakai buang dan seumpamanya kerana apabila sudah menerima arahan atau perintah kurantin, kita tidak akan dibenarkan untuk keluar rumah, apatah lagi untuk ke premis-premis perniagaan.

    Beberapa dokumen-dokumen penting juga akan diperlukan dan wajar disediakan di tempat yang mudah dicapai dan diketahui iaitu kad Bru-HIMS, kad pengenalan pintar atau surat beranak bagi mempermudah kita nanti semasa membuat laporan melalui sistem BruHealth dan talian-talian bantuan bagi pemakluman dan pengesahan positif ujian ART.

    Pengasingan diri bukanlah bermaksud untuk ‘memenjarakan’ kita namun ia perlu dijalani sebagai tanggungjawab sosial di mana apabila menjalaninya, kita akan mampu menghalang virus daripada terus menular dan menjangkiti lebih ramai lagi.

    Sehubungan itu, jalanilah kuarantin dengan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat sama ada berbentuk ukhrawi dan duniawi, memperbanyakkan muhasabah diri, istiqamah dalam solat dan juga berwirid, membaca Al-Quran atau melakukan sesuatu yang sudah lama kita inginkan seperti menulis, bersenam dan banyak lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...