Jalankan aktiviti masjid dalam talian

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dalam usaha memastikan jemaah dan penduduk kampung terus mengikuti acara dan program anjuran Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar terutama dalam mengaji Al-Quran, beberapa usaha dan inisiatif telah dilaksanakan.

Walaupun negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 dan menyebabkan penutupan sementara masjid-masjid sebagai langkah mengawal penularan wabak berkenaan, Jawatankuasa Takmir MRSB terus memastikan segala aktiviti dan program masjid masih dijalankan dengan mengambil langkah ke hadapan seperti membuat aktiviti dan mengaji dalam talian.

Ini bertujuan supaya pembelajaran dan aktiviti masjid terus berkembang walaupun ia dilaksanakan dalam keadaan yang terhad.

Ke arah menjayakan program yang dibuat dalam talian itu, beberapa platform digunakan supaya ia mencapai hasrat yang diinginkan, seperti komunikasi menggunakan panggilan video, Zoom Cloud Meeting, FB Live dan sebagainya.

Menurut ahli takmir masjid berkenaan, program #ZoomNgajiQuran diadakan pada setiap 6 pagi kecuali Jumaat, #ZoomTazkirahPendek di buat dua kali seminggu manakala itu, #ZoomMembacaKahfi pula diadakan setiap Jumaat selepas solat Fardu Subuh dan #ZoomTadarusDirumah dibuat seminggu sekali.

AJK Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah mengambil inisatif mengaji dalam talian untuk meneruskan aktiviti yang biasa dibuat di masjid berkenaan.

“Dalam usaha memastikan pembacaan jemaah betul, jemaah yang menyertai program berkenaan dibimbing oleh imam masjid dan guru-guru agama,” jelasnya.

Program#ZoomNgajiQuran baru saja diperkenalkan pada minggu keempat penutupan sementara masjid di samping itu beberapa aktiviti lain juga akan dilaksanakan antaranya #ZoomTadarusDi-rumah yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Dengan inisiatif yang dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan lagi mutu bacaan jemaah dan kaedah mengaji melalui dalam talian yang dilaksanakan oleh MRSB adalah satu langkah ke hadapan untuk terus mendekatkan diri dengan Al-Quran walau di mana saja berada.

Program #ZoomNgajiQuran, #ZoomMembacaKahfi dan #ZoomTadarusDirumah adalah yang julung kalinya dilaksanakan dan dengan inisiatiaf yang dibuat itu, jawatankuasa takmir masjid berharap lebih ramai jemaah dan penduduk tidak melepaskan peluang menuntut ilmu Al-Quran secara dalam talian.

Kaedah online seperti FB Live pernah dibuat sebelum ini untuk program ceramah dan sambutannya adalah menggalakkan dan disebabkan penularan COVID-19, program berkenaan ditangguhkan berikutan penutupan sementara masjid.