Jalin kerjasama akademik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menerima kunjungan muhibah rombongan seramai 10 orang perwakilan dari empat buah universiti terkemuka di Indonesia yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan silatu-rahim di samping bertukar-tukar maklumat.

Kunjungan rombongan tersebut turut disertai oleh pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia dengan diketuai oleh Setiausaha Ketiga, Wahyu Prabowo.

Ketibaan delegasi dialu-alukan oleh Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Rombongan perwakilan berkenaan adalah dari Universitas Airlangga, Surabaya; Universitas Diponegoro, Semarang; Universitas Negeri Malang dan Universitas Hasanuddin Makasaar.

Universiti-universiti berkenaan juga telah menyertai Ekspo Pengajian Tinggi 2019 yang diadakan pada 16 dan 17 Februari lalu di BRIDEX Hall 2 dan seterusnya mengambil kesempatan membuat kunjungan ke UNISSA.

Para perwakilan universiti terkemuka Indonesia bergambar ramai semasa berkunjung ke UNISSA, baru-baru ini.

Dr Haji Mohammed Hussain dalam ucapan alu-aluannya, menyampaikan penghargaan dan terima kasih atas kesempatan perjumpaan itu yang menurutnya merupakan pengenalan awal jalinan kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Sesi perbincangan juga menyentuh mengenai perancangan untuk meneruskan lagi jaringan kerjasama pada waktu terdekat bersama UNISSA untuk mengadakan program pertukaran pelajar, pengendalian seminar atau bengkel dan usaha-usaha yang akan lebih memperkayakan bidang ilmu pengetahuan.

Rombongan berkenaan juga membuka tawaran bagi yang berminat untuk mengikuti pengajian di universiti-universiti Indonesia dengan memberikan dana pembelajaran mengikut bidang yang diikuti.