Jalin kerjasama lebih erat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan pelancongan.

Dalam hubungan itu, hubungan antara Brunei dan Macau merupakan sebahagian daripada perkembangan positif dalam hubungan antara Brunei dan China yang menyaksikan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara terus menjadi lebih erat termasuk dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong ketika berucap pada Majlis Resepsi Ulang Tahun Pemulangan Macau kepada Republik Rakyat China ke-20 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Majlis itu dihadiri oleh perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan khas termasuk ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Ong Tiong Oh serta isteri dan Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin serta isteri.

PYT Yu Hong dalam ucapannya menyatakan bahawa pada Oktober lalu, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah menyambung semula penerbangan langsung dari Bandar Seri Begawan ke Shanghai dan projek usaha sama Brunei-China iaitu Projek Loji Petrokimia Hengyi Pulau Muara Besar sedang beroperasi dengan lancar di mana ia menandakan lagi kerjasama dan hubungan positif di antara kedua-dua buah negara.

Beliau turut menerangkan bahawa pada September lalu, satu delegasi dari Kementerian Perdagangan China bersama ahli-ahli perniagaan dari Macau telah mengadakan lawatan ke Brunei serta mengadakan acara promosi bersama China-Macau bagi
meneroka peluang kerjasama infrastruktur antara Brunei dan China.

Yang Berhormat Ong Tiong Oh, PYT Yu Hong dan Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin semasa menghadiri Majlis Resepsi Ulang Tahun Pemulangan Macau ke Republik Rakyat China ke-20 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.