Jalin kerjasama tingkat bola sepak

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) telah memeterai perjanjian tajaan selama tiga tahun dengan Sport Partnership Pte Ltd Singapura di NFABD House, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.

Melalui perjanjian ini, NFABD akan menerima tajaan berupa pakaian lengkap bagi pasukan kebangsaan pelbagai kategori pada harga yang rendah dan dipersetujui, sekali gus membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam menjadikan usahasama ini berterusan dan bermanfaat.

Justeru, berucap di majlis itu ialah Presiden Sport Partnership Pte Ltd Singapura, Johar Jasman hari ini, katanya Persada Bola Sepak Brunei Darussalam menunjukkan pembangunan dan peningkatan yang memberangsangkan di bawah pucuk kepimpinan Presiden NFABD, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

Ia jelas ketara apabila persatuan ini dibarisi oleh pegawai-pegawai rasmi yang komited dan berdedikasi untuk meningkatkan perkembangan bola sepak ke arah yang dihasratkan, ujarnya kepada sidang majlis berkenaan.

Sesi bergambar ramai setelah selesainya majlis penandatanganan tajaan antara NFABD dan Sport Partnership Pte Ltd Singapura. – Gambar oleh Hazrulraizan

Turut berucap di awal majlis ialah Setiausaha Agung NFABD, Awang Roslin Suhailee yang menyatakan harapan agar dengan tajaan ini akan memdorong kepada perkembangan sukan bola sepak sebagai sukan paling diminati di negara ini.

Menandatangi perjanjian berkenaan bagi pihak NFABD adalah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Pengiran Haji Aliuddin Pengiran Haji Tajudin dan Awang Roslin Suhailee.

Sementara bagi pihak Sport Partnership Pte Ltd Singapura pula diwakili oleh Johar Jasman serta perwakilan Sport Partnership Pte Ltd Singapura, Fauzy Rajap.