Jalin persahabatan melalui aktiviti berbasikal

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Hubungan antara Komuniti berbasikal di antara Negara Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan semakin terjalin kukuh dengan penganjuran acara ‘Friendship Ride’ di antara kedua buah negara itu.

Acara yang bermula di Serasa, menyaksikan penyertaan seramai 60 orang pe-ngayuh basikal dari berbagai-bagai kelab basikal yang turut melibatkan Kelab Basikal Amori dan Randonnee serta pasukan dari Labuan, Kelab Berbasikal Road Cyclists dan Labuan Ladies Cyclistembark, memulakan ekspedisi sejauh 60km. Antara kawasan-kawasan yang dilalui adalah Kampung Lambak, kawasan Lapangan Terbang Lama, Bandar Seri Begawan dan Kampung Kota Batu.

Mereka kemudiannya membuat perhentian untuk makan tengah hari di Restoran Pabo sebelum meneruskan ekspedisi dari Kota Batu menuju Agro Park dan kemudian melalui lebuh raya Jerudong sebelum menamatkan kayuhan selama lima jam di Hotel Jeruton.

Presiden Amori, Haji Harith bin Pehin Haji Abdul Aziz berkata, “InsyaAllah, kumpulan yang istimewa ini bukan sahaja boleh melihat keindahan Brunei Darussalam sepanjang perjalanan ini, tetapi mereka juga dibawa melawat ke beberapa tempat menarik di negara ini sebagai salah satu aktiviti.

“Kami ingin mengeratkan lagi hubungan antara peminat sukan berbasikal Brunei dan Labuan. Kami harap hubungan setia kawan ini tidak sahaja terbatas menerusi sukan ini tetapi juga dalam hal-hal lain yang membawa kepentingan dan faedah bersama antara kedua-dua pihak,” tambahnya.

Delegasi pengayuh basikal Brunei dan Labuan bergambar ramai. – Gambar oleh Kelab Basikal Amori

Beliau juga mendedahkan akan kemungkinan aktiviti serupa diadakan di Labuan jika sekiranya diberi peluang.

Safariah Osdam, ketua delegasi Labuan, menyuarakan sentimen presiden pasukan bahawa objektif aktiviti berbasikal beramai-ramai ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara dua negara berjiran terutama komuniti pengayuh basikal.

Delegasi pengayuh basikal dari Labuan turut berterima kasih kepada penganjur di Brunei atas hubungan yang mesra dan layanan yang memuaskan.

Hari kedua kayuhan ‘Friendship Ride,’ penyertaannya dibukakan untuk orang ramai dari berbagai-bagai-bagi kelab berbasikal, di mana aktiviti pada hari tersebut juga berjaya mengumpulkan lebih dari 100 orang pengayuh.

Sebelum bermulanya ekspedisi tersebut, acara pertukaran cenderahati daripada kedua-dua kelab turut diadakan. Pada hari terakhir aktiviti tersebut, Restoran Amanah Harith dijadikan sebagai titik pertemuan yang menyaksikan para peserta memulakan kayuhan melalui lebuh raya Jerudong-Muara yang berakhir di Serasa.