Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Pelajar-pelajar kohort Merdeka 1984 Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah mengadakan Jalinan Muhibah SMALHB 1984 kali kedua yang berlangsung di ZDS, Homestay, Kampung Junjungan baru-baru ini.
Acara kali ini telah berjaya mengumpulkan seramai 30 orang yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi jalinan muhibah dan ikatan silaturahim yang sedia ada dalam kalangan mereka.
Selain itu, pertemuan berkenaan juga meraikan sambutan ulang tahun Mahad Islam Brunei ke-32 tahun memandangkan para pelajar kohort SMALHB 1984 juga merupakan lepasan pertama Mahad Islam Brunei pada 1990.
Pengisian acara termasuklah bacaan Doa Kesyukuran, sembahyang berjemaah dan ramah mesra.
Walaupun pengisian acara agak ringkas, namun ia dapat memberi ruang yang sangat berharga kepada para pelajar kohort SMALHB 1984 untuk merakamkan rasa kesyukuran dan kegembiraan dapat bertemu semula dengan rakan-rakan satu sekolah, satu asrama dan satu bas.
Pelbagai nostalgia dan kenangan manis, kejayaan dan kecemerlangan dalam akademik, sosial dan sukan yang pernah dicapai oleh para pelajar kohort SMALHB 1984 telah diimbau kembali dalam suasana yang penuh harmoni.