Jalinkan hubungan, rangkaian melalui lawatan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 31 JULAI – Sebagai sebahagian daripada peluang untuk membiasakan diri dengan kawasan Mukim Labi, warga Pejabat Hal Ehwal Awam, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam telah mengendalikan lawatan ke kawasan berkenaan, hari ini.

Lawatan berkenaan juga menjadi peluang untuk menjalinkan hubungan dan rangkaian bersama pelbagai pengusaha serta penduduk setempat, yang bukan sahaja membantu rombongan pelawat memahami kawasan berkenaan malah membuka peluang bagi pelbagai kerjasama masa depan di kawasan tersebut dan selanjutnya.

Dalam perjalanan ke kawasan pedalaman itu, kumpulan berkenaan turut membuat perhentian di Taman Rekreasi Luangan Lalak sebelum ke Mukim Labi di mana mereka dialu-alukan oleh Yong Khian Fook selaku pemilik Pertanian Tropikal Utama yang mengusahakan perladangan kopi dan padi kawasan berdekatan.

Semasa lawatan itu, rombongan bukan sahaja mengunjungi ladang berkenaan malah mengetahui mengenai proses dan operasi harian yang dijalankan.

Pegawai Hal Ehwal Awam, Kedutaan AS di Brunei, Daniel Lee ketika ditemui berkata bahawa lawatan ke Labi berkenaan merupakan yang pertama baginya dan beliau digalakkan untuk pergi melawat kawasan berkenaan apabila teringat mengenai pertemuannya dengan Yong Khian Fook.

Menurutnya, beliau telah meminum kopi dari ladang berkenaan di Washington Bakery, SMARTER dan rasa kagum dengannya.

Beliau juga menyatakan bahawa dengan kopi dinikmati di seluruh dunia, pengunjung ke Brunei mungkin berminat untuk mencuba varieti kopi tempatan dan lawatan itu merupakan satu peluang untuk meneroka peluang-peluang serta membantu mempromosikan lagi kawasan tersebut.

Seorang lagi ahli kumpulan pelawat berkenaan, Pengiran Muhammad Aizat bin Pengiran Haji Yasmin berkata, sebagai bekas peserta Program Pelajar Asing Fullbright di mana beliau melanjutkan pengajian sarjana selama dua tahun di AS dalam bidang pertanian, lawatan berkenaan merupakan peluang unik untuk mendapatkan gambaran mengenai rantaian makanan yang menghubungkan penanaman dan penuaian hasil kepada makanan yang disajikan di rumah.

Menurutnya lagi, beliau rasa gembira melihat perkembangan yang dibuat, terutamanya dalam keselamatan makanan bagi Brunei, yang menunjukkan banyak peluang bagi individu seperti Yong Khian Fook yang berhasrat untuk mengembangkan dan membangunkan kawasan berkenaan bagi memenuhi keperluan negara.

Yong Khian Fook membawa rombongan terdiri daripada warga Pejabat Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei Darussalam ke ladang kopi.