Jamaica cadang Bahasa Sepanyol bahasa kedua

KINGSTON, 22 Okt – Jamaica sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Bahasa Sepanyol sebagai bahasa kedua negara itu, kata Perdana Menteri Andrew Holness.

Berucap di Trelawny, Holness berkata cadangan itu susulan peningkatan pelaburan dari Sepanyol ke negara tersebut dan untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala.

“Memandangkan banyak pelaburan dari Sepanyol dan negara lain yang menggunakan bahasa itu, saya fikir tidak lama lagi perlunya ia dijadikan bahasa kedua,” ujar beliau.

Beliau berkata hubungan kedua-dua negara juga sudah terjalin sejak berabad lamanya.

Pelaburan dari Sepanyol dalam industri perhotelan, pusat kesihatan dan projek pembinaan, menyumbang sekurang-kurangnya AS$1.7 bilion kepada industri pelancongan Jamaica. – Bernama/NNN