Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Jambak ros kait tangan tanda kenangan Olimpik

    SHANGHAI – Apabila juara Olimpik di Sukan Musim Sejuk Beijing 2022 diberikan jambak bunga di podium penerimaan pingat, tidak ada sesiapa yang akan berasa lebih bangga daripada pesara Shanghai Mou Guoying.

    Dia bersama 150 orang lain – kebanyakan wanita warga emas – telah menghabiskan masa tiga bulan lalu mengait dengan cermat dan teliti bunga ros yan bulu yang akan menjadi tumpuan jambangan bunga pemenang pingat.

    “Saya yakin apabila saya melihat atlet memegang jambak bunga, memakai pingat dan seterusnya membawanya pulang ke negara mereka, saya akan berasa amat bangga dalam hati saya dan amat gembira,” kata wanita berusia 80an itu.

    Wanita-wanita berkenaan telah menghasilkan 4,400 kuntum bunga ros – bertujuan melambangkan kerjaya atlet yang berkembang maju – untuk lebih daripada 1,200 jambak bunga.

    Versi bulu dipilih disebabkan, tidak seperti jambak bunga sebenar yang bolah layu, ia boleh berfungsi sebagai tanda kenangan seumur hidup.

    Wanita warga emas sedang mengait bunga ros untuk dijadikan jambak bunga pada Sukan Olimpik Beijing 2022. – AFP
    Kelihatan jambak bunga ros dikait tangan untuk pemenang pingat di Sukan Olimpik 2022 di Shanghai. – AFP
    Mou Gouying mengait bunga ros bulu untuk digunakan dalam jambak pemenang pingat di Sukan Olimpik Beijing 2022 di Shanghai. – AFP
    Li Meili, seorang pereka jambak ros pemenang pingat yang dikait tangan untuk Sukan Olimpik Beijing 2022, menunjukkan cara-cara jambak bunga dihasilkan di Shanghai. – AFP

    Pesara merupakan sebahagian daripada ahli kelab pertukangan di sebuah pusat kegiatan untuk wanita dan kanak-kanak yang telah menjadi terkenal di negara disebabkan kemahiran anggotanya.

    Kemahiran berkenaan terserlah dalam produk yang sudah siap, tangkai besi panjang yang dibalut dalam bulu yan daun hijau sehingga ke hujung kelopak bunga ros warna merah lembayung.

    Sebelum Olimpik, wanita berkenaan menghabiskan sebahagian besar masa mereka mengait baju panas berkualiti tinggi, sarung kaki, skarf, topi malah baju gaun untuk persatuan kebajikan, yang biasanya disumbangkan kepada golongan memerlukan untuk membantu mereka mengharungi musim sejuk di China.

    Beberapa pertubuhan kerajaan dan perniagaan juga meminta kelab berkenaan untuk menghasilkan pelbagai barangan untuk dijadikan sebagai hadiah.

    Bagi anggota seperti Huang Hongying, 68 tahun, yang membesar memakai pakaian jahitan tangan oleh ibu bapa dan datuknya, ia merupakan kerja yang dibuat kerana didorong oleh minat.

    “Kami mengait dengan kasih sayang, untuk mewarisi kasih sayang, dan menyebarkan kasih sayang,” kata Huang. “Kami amat terikat kepada kegiatan mengait.”

    Sumbangan Olimpik mereka – satu projek yang diperkenalkan kepada mereka oleh Persekutuan Wanita Shanghai – merupakan projek terbesar dan paling penting yang dilaksanakan oleh kumpulan.

    Gaya pertukangan mereka wujud di China pada pertengahan abad ke-19 apabila pengamal di Shanghai, usahawan global, menggabungkan teknik China dan Barat.

    Bagaimanapun, terdapat banyak percubaan ketika kelab berusaha menyempurnakan rupa bunga ros, membeli bunga sebenar dan mengopak kelopak satu demi satu untuk mendedahkan rahsia corak alam semula jadi.

    Setiap wanita menggunakan satu bebola benang yan, dua batang jarum dan lebih 50 jenis jahitan, mengambil masa beberapa jamuntuk menghasilkan setiap bunga ros.

    “Keketatan merupakan kunci,” jelas Huang.

    Bunga ros yang sudah siap dikait akan dihantar untuk digabungkan bersama elemen lain – ranting zaitun, daun laurel, bunga raja deli, bunga lili dan osmanthus – dicipta oleh kelab lain di seluruh negara.

    Kira-kira 35 jam diperlukan untuk menghasilkan setiap jambak penuh.

    Ia adalah hasil titik peluh yang memerlukan ketelitian, dan kebanyakan nenek di Shanghai mempunyai balutan di jari mereka untuk melindunginya daripada terluka.

    Mou, yang berusia 80 atau 81 tahun, – umur sebenarnya tidak diingati disebabkan kekacauan masa peperangan di Shanghai, berasa gembira walaupun berdepan ketidakselesaan.

    “Sungguh memuaskan hati bagi seseorang pada usia saya untuk mengambil bahagian dalam projek Olimpik ini. Saya berasa amat gembira dan rasa agak bertuah,” katanya, sambil jarinya memusing dan menggelung benang yan warna merah dengan jarumnya.

    “Jambak bunga akan melambangkan negara kami dan dibawa ke negara di seluruh dunia oleh atlet,” tambahnya.

    “Oleh itu saya mengait dengan amat cermat dan teliti.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...