
Oleh Pg Fairol RMF & Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – Dengan pembukaan jambatan Sungai Kebun yang baru secara percubaan, kelihatan orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan Bandar Seri Begawan dan Sungai Kebun amat teruja melalui jambatan tersebut sejak ia dibukakan kelmarin.
Ia bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk di sekitar Kampung Sungai Kebun, Mukim Lumapas dan sekitarnya, orang ramai dari kawasan lain tidak melepaskan peluang untuk berkesempatan melawat dan mencuba melalui jambatan baru yang tersergam indah itu.
Salah seorang pengunjung Jambatan Sungai Kebun, Awang Mohd Shahran bin Haji Johari ketika ditemui Media Permata menjelaskan, kunjungannya ke Jambatan baru itu adalah untuk menikmatinya suasana dan pemandangan indah Sungai Brunei bersama keluarga.