Jambatan Batang Lupar bakal beroperasi 2025

KUCHING, 21 NOV – Rangkaian jalan pesisir dari Kuching ke Sibu yang merentas beberapa sungai dan anak sungai, pastinya membawa pengalaman unik kepada pemandu yang perlu menempuh bukan sahaja jambatan, tetapi juga perkhidmatan feri untuk tiba ke destinasi akhir.

Paling tidak di sepanjang perjalanan kira-kira 320km itu pemandu perlu menaiki feri di dua pengkalan iaitu di Triso dan Pusa sebagai jalan pintas ke Sibu dengan merentasi pemandangan indah Taman Negara Meludam.

Namun pengalaman ini perlu disulam dengan kesabaran tinggi untuk menunggu giliran dalam deretan kenderaan panjang sebelum menaiki tanjakan ke dalam feri terutama bagi pengguna kerap, sudah tentu satu kesulitan.

Ini terutamanya ketika hujung minggu serta air pasang bergelora sehingga menyukarkan operasi feri yang seterusnya meningkatkan lagi tempoh menunggu dan mengganggu perjalanan ke destinasi yang hendak dituju.

Bagaimanapun, kebimbangan itu bakal dikurangkan melalui projek penambahbaikan rangkaian jalan itu termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar yang dijadualkan siap tiga tahun lagi dan beroperasi penuh tahun 2025, sekali gus membuka lembaran baharu buat kawasan pesisir Sarawak.

Pembinaan Jambatan Sungai Batang Lupar, Sebuyau giat dijalankan ketika tinjauan. – Bernama

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek pembinaan jalan pesisir Sarawak secara keseluruhan dari Kuching terus ke Miri sepanjang 896km termasuk pembinaan jambatan Batang Lupar membabitkan kos kira-kira RM5 bilion.

Beliau berkata setelah siap kelak jambatan Batang Lupar yang bernilai RM848 juta itu juga akan menjadi antara jambatan terpanjang di Malaysia sepanjang 7km merentasi sungai dari Triso di Meludam ke Sebuyau.

“Projek pembinaan jambatan itu adalah berdasarkan perjanjian (dengan kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional sebelum ini). Peruntukan kos pembinaan adalah 50-50 (separuh ditanggung kerajaan Persekutuan dan separuh lagi kerajaan negeri).

“Namun setelah pertukaran kerajaan (semasa kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini)…kami (kerajaan negeri) tetap meneruskan dengan (menggunakan) peruntukan sendiri,” katanya semasa majlis pecah tanah projek pembinaan jambatan itu Mac lepas.

Terletak di Sebuyau kira-kira 111km dari Kuching, Jambatan Batang Lupar itu juga bakal menggantikan perkhidmatan feri bagi menyeberangi Sungai Batang Lupar dari Sebuyau ke Triso. – Bernama