Jambatan bersejarah di Rom musnah terbakar

ROM, 3 OKT – Kebakaran, yang mungkin berpunca daripada letupan silinder gas, memusnahkan sebahagian jambatan bersejarah di Sungai Tiber di Rom sebelum anggota bomba memadamkan api pada awal pagi hari ini.

Anggota bomba berkata, api meletus sebelum tengah malam dekat kawasan kejiranan Ostiense dan pada pukul 4 pagi hari ini telah berjaya memadamkan kebakaran.

Tidak ada yang cedera dalam kejadian kebakaran yang melibatkan Jambatan Industri, tetapi tiga kelab malam berhampiran kawasan pinggir sungai yang terkenal diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga, kata TV negara Itali.

Kebakaran berkemungkinan mula berlaku di kawasan gelandangan di tebing sungai berhampiran Jambatan Industri berkenaan sebelum merebak. Radio negara itu mengatakan pihak berkuasa percaya kebakaran itu mungkin disebabkan oleh letupan silinder gas memasak daripada salah seorang gelandangan.

Laluan pejalan kaki luar dan jalan penghubung terputus dan jatuh ke Sungai Tiber. Radio negara menyatakan bahawa kebakaran lain beberapa tahun yang lalu juga melibatkan tempat itu.

Anggota bomba mengatakan di Twitter bahawa jambatan itu pada masa ini terlalu berbahaya untuk digunakan. Mereka juga melarang menggunakan jalan itu sehingga ia diperbaiki. Paus Pius IX menghadiri perasmian jambatan itu pada tahun 1863, salah satu kerja pembinaan utama terakhir di Rom. – AP

Orang awam melihat kebakaran di Jambatan Industri di Rom, semalam. Kebakaran yang mungkin disebabkan oleh letupan gas, memusnahkan sebahagian jambatan itu di Sungai Tiber, Rom. – AP