Oleh Nurdiyanah R.
Detik 17 Mac 2020 bagaikan sebuah lembaran baharu di bumi Negara Brunei Darussalam ini apabila pembukaan Jambatan Temburong yang menerima julukan terpanjang di Asia Tenggara menjadi realiti di mata rakyat dan penduduk di negara ini yang sememangnya menjadi salah satu impian yang amat dinanti-nantikan.
Dengan keizinan Allah SWT jua, jambatan yang menjadi mercu tanda ikonik baharu bumi Darussalam ini sejauh 30 kilometer itu telah menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong.
Takdir Illahi menyatukan kembali
Apabila mengimbas semula sejarah silam, kira-kira 130 tahun lalu, pada tarikh yang sama, 17 Mac 1890 Charles Brookes yang pernah menakluki Limbang dari Brunei sehingga mengakibatkan terputusnya jarak Daerah Temburong dengan daerah-daerah lain di bumi Darussalam ini.
Oleh yang demikian, inilah suatu nikmat rezeki yang perlu kita panjat dengan kesyukuran yang tidak terhingga yang mana ia suatu takdir Illahi yang seakan-akan mengembalikan daerah yang letaknya di ujung timur daripada tiga daerah yang lain di bumi Darussalam ini bersatu kembali bagaikan setanah setelah sekian lama terpisah jarak.
Keindahan dengan merentasi perairan Sungai Brunei ke daerah Permata Hijau itu hanya mengambil masa lebih kurang 35 minit bermula dari ‘entry point’ di Kampong Sungai Besar hingga Pekan Bangar.



Pastinya perjalanan penulis bersama rakan seperjuangan Media Permata begitu tenang seawal pukul 6.30 pagi baru-baru ini, menyaksikan keheningan matahari terbit menghiasi angkasa, tambah berseri dengan adanya kehijauan hutan dan alam semula jadi yang masih memiliki kesegaran yang begitu mempesona mata yang memandangnya.
Jauh didekatkan dan sukar dipermudahkan
Setelah menyaksikan Jambatan Temburong yang telah dilaluinya buat pertama kali seawal pukul 7 pagi itu jelas memberikan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Hajah Zaitunah binti Haji Jambin bersama suami beliau kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas kemudahan yang begitu berharga bagi para penduduk dan rakyat di negara ini.
“Ibarat yang jauh didekatkan dan yang sukar dipermudahkan, begitulah keindahan yang saya rasakan dengan adanya jambatan ini khususnya bagi para penduduk tempatan di negara ini.
Lebih-lebih lagi, ia amat menjimatkan perjalanan masa dengan efektif dan efisien terutamanya bagi mereka yang bertugas ulang alik ke Daerah Temburong atau sebaliknya,” ujarnya dengan penuh keceriaan semasa ditemui di Tamu Aneka Temburong, baru-baru ini.
Kemudahan cetus perkembangan ekonomi
Sementara itu, salah seorang peniaga buah-buahan tempatan yang berasal dari Kampung Tanjong Bungar di daerah itu, Awang Jenging Anak Ladi berkata, dengan kemudahan jambatan tersebut, ia bukan saja memberi kesenangan kepada pengunjung di daerah lain berkunjung ke Daerah Temburong malah ia juga mampu meningkatkan hasil pendapatan mereka selaku para peniaga kecil dan sederhana di sana.
Sehubungan dengan itu, respons yang positif mengenai pembukaan jambatan ini turut diutarakan salah seorang penduduk yang menetap di Perumahan Kampong Rata’ie, Daerah Temburong, Awang Sahbirin bin Orang Kaya Kaya Haji Nordin dengan menyatakan bahawa dengan adanya pembukaan jambatan ini, ia bukan sahaja dapat memberi kemudahan perjalanan ulang-alik khususnya bagi mereka yang berkepentingan dalam urusan pekerjaan namun ia juga secara tidak langsung mampu mencetus perkembangan ekonomi setempat dan juga negara dari semasa ke semasa.
Kejauhan bukanlah suatu alasan
Dalam pada itu, Awang Sahbirin juga menjelaskan dengan adanya pembukaan jambatan tersebut, ia sememangnya diharap dapat membuka minda para penduduk setempat Daerah Temburong sendiri yang sudah lama meninggalkan kampung halaman mereka untuk kembali menghidupkan suasana kampung dengan mengunjungi kaum keluarga dan sanak saudara, lebih-lebih lagi dalam mengisi masa hujung minggu.
“Kejauhan bukanlah sesuatu alasan lagi bahkan kini perjalanan ke daerah berkenaan menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa.
“Sungguh baik melihat respons sebegini. Meskipun begitu, kita selaku rakyat di negara ini agar tidak terlalu teruja dan elakkan mengadakan perhimpunan atau tempat-tempat keramaian bagi sama-sama berusaha membanteras penularan virus yang menjadi kebimbangan kini,” tegasnya dengan penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.
Bersama menjadi para pengguna berhemah
Oleh yang demikian, dalam kita menikmati kemudahan yang disediakan, alangkah baiknya jika kita sentiasa mengamalkan tanggungjawab sosial dengan memandu secara berhemah dan cermat serta menjaga kebersihan semasa menggunakan jambatan penghubung tersebut serta mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Lalulintas Jalan Raya (Penggal 68) demi untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai dan pengguna jalan raya yang lain.
Pada masa ini, jambatan yang menghubungkan dua buah daerah ber-kenaan, dibuka dari pukul 6 pagi hingga 6 petang, adalah bagi memudahkan perjalanan ulang-alik penduduk yang mempunyai kepentingan khusus seperti pekerja kesihatan dan pekerja yang berkenaan sahaja berikutan dengan penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.