MARATHON, FLORIDA, 12 JAN – Segmen jambatan Florida Keys yang berusia 110 tahun dibuka semula kepada pejalan kaki dan penunggang basikal hari ini berikutan projek pemulihan bernilai AS$44 juta.
Pembinaan pemulihan Jambatan Old Seven Mile pada jarak 3.5 km yang sering digambar bermula pada akhir 2017.
“Apa yang menjadikan projek itu mencabar ialah ia adalah jambatan bersejarah dan kami terpaksa memulihkan jambatan itu kepada fabrik estetik yang sama seperti yang asal,” kata pengurus projek, Tony Sabbag, kontraktor jabatan pengangkutan Florida.
Digelar ‘Old Seven’, jambatan itu telah siap pada tahun 1912 sebagai sebahagian dari laluan kereta api Over-sea Florida Keys Henry Flagler yang menghubungkan Keys antara satu sama lain serta tanah besar Florida.
Pada tahun 1938, jambatan kereta api telah ditukar untuk membawa kereta. Pada tahun 1982, Jambatan Seven Mile yang baharu, sepanjang 10.9 km, dibuka bersama dengan jambatan bersejarah, yang mana rentang ayunan besinya memudahkan lalu lintas marin antara Lautan Atlantik dan Teluk Mexico telah dialihkan.
‘Old Seven’ menjadi kawasan rekreasi popular dan muncul dalam beberapa filem termasuk ‘True Lies’, sebuah komedi aksi 1994 yang dibintangi oleh Arnold Schwarzenegger dan Jamie Lee Curtis. – AP