Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Jambatan gantung runtuh, lebih 130 maut

    MORBI, INDIA, 31 OKT – Kira-kira 137 orang maut di India apabila jambatan pejalan kaki zaman penjajah yang dipenuhi pengunjung telah runtuh ke dalam sungai, kata polis hari ini.

    Pihak berkuasa berkata hampir 500 orang sedang meraikan hari terakhir perayaan Diwali di sekitar jambatan gantung berusia hampir 150 tahun di Morbi apabila kabel penyokong putus malam kelmarin.

    Rakaman CCTV menunjukkan struktur di negeri barat Gujerat bergoyang dengan beberapa orang kelihatannya sengaja menggoncangnya sebelum ia tiba-tiba runtuh.

    Laluan pejalan kaki dan sebuah pagar terjunam, menyebabkan bahagian lain terjuntai di udara manakala ratusan orang terjatuh ke dalam sungai.

    “Saya melihat jambatan runtuh di depan mata saya,” kata seorang saksi yang bekerja sepanjang malam dalam usaha menyelamat, tanpa memberikan namanya.

    Para penyelamat di dalam bot melakukan pencarian di sungai Machchhu dekat jambatan gantung yang runtuh di bandar Morbi, Gujarat, India pada 31 Oktober. – AP

    “Suasananya amat traumatik apabila seorang wanita menunjukkan kepada saya gambar anak perempuannya dan bertanya sama ada saya telah menyelamatkannya. Saya tidak dapat memberitahu anak perempuannya telah meninggal dunia,” ujarnya.

    Supran, seorang lagi saksi, berkata jambatan itu ‘penuh sesak’.

    “Kabel terputus dan jambatan runtuh dalam sekelip mata. Orang ramai jatuh menimpa sesama sendiri ke dalam sungai,” katanya kepada media tempatan.

    Laporan berita menunjukkan rakaman orang berpaut pada lebihan jambatan yang masih tergantung atau cuba berenang ke tempat selamat dalam kegelapan.

    Kebanyakan orang India tidak pandai berenang dan seorang lagi penduduk Morbi, Ranjanbhai Patel, berkata dia membantu menarik keluar mereka yang sampai ke tebing.

    “Memandangkan kebanyakan orang telah terjatuh ke dalam sungai, kami tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya.

    Ketua polis tempatan P. Dekavadiya berkata pada petang ini, jumlah kematian telah meningkat kepada 137. Mereka termasuk kira-kira 50 kanak-kanak, yang paling muda adalah kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

    Seorang ahli parlimen tempatan, Kalyanji Kundariya, memberitahu media dia telah kehilangan 12 ahli keluarga dalam kemalangan itu, termasuk lima kanak-kanak.

    Jambatan di atas sungai Machchhu, lokasi pelancongan popular, hanya dibuka semula beberapa hari sebelum itu, selepas beberapa bulan pembaikan.

    Pihak berkuasa melancarkan operasi menyelamat susulan runtuhan itu, dengan bot dan penyelam mencari mangsa sepanjang malam dan hari ini.

    Jambatan sepanjang 233 meter dan 1.5 meter lebar telah dirasmikan pada 1880 oleh pihak berkuasa kolonial British dan dibuat dengan bahan yang dihantar dari England, menurut laporan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...