Jambatan Gantung Satok kini stabil

KUCHING, 17 OKT – Jambatan Gantung Satok di sini, kini stabil dan tiada lagi pergerakan dijangka berlaku di blok utama jambatan itu, kata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan, hari ini.

JKR Sarawak mengesahkan perkara itu selepas melakukan siasatan di blok utama di bahagian Kubah Ria yang sedikit condong apabila ujian beban statik terhadap jambatan itu dimulakan dengan memuatkan beban yang sama dengan berat 800 orang.

“Memandangkan insiden blok utama di bahagian Matang yang condong semasa ujian beban dilakukan di keseluruhan Jambatan Satok, JKR telah menjalankan program penyiasatan intensif termasuk kajian siasatan tanah, pemantauan reka bentuk dan pembinaan serta pemantauan harian jika terdapat sebarang pergerakan lain di blok utama.

“Antara inisiatif yang diambil untuk memastikan kestabilan struktur adalah langkah berjaga-jaga untuk mengambil plat gelung jambatan bagi mengurangkan berat pada blok penambat yang bermasalah,” menurut kenyataan itu. – Bernama