Jambatan London tersekat

LONDON, 23 OGOS – Jambatan ikonik di London, Tower Bridge mengalami ‘isu teknikal’ semalam apabila ia dinaikkan untuk membenarkan sebuah kapal melaluinya tetapi tidak dapat ditutup semula.

Lalu lintas di sekitar kawasan itu terhenti selepas jambatan ditutup untuk kenderaan selama beberapa jam pada tengah hari dan petang.

“Jambatan mengalami isu teknikal pada tengah hari ini dan terkunci dalam posisi terangkat untuk satu tempoh masa,” kata Tower Bridge di laman Twitter.

Dibina di antara 1886 dan 1894, jambatan itu dinaikkan kira-kira 800 kali setahun dan semalam dijadual dinaikkan untuk membenarkan bot Sailing Barge Will melaluinya.

Polis mengumumkan penutupannya pada pukul 5 petang. Ia dibuka semula kepada pejalan kaki lebih sejam kemudian, namun masih ditutup kepada kenderaan selama beberapa jam. – AFP

Lintasan Tower Bridge di Sungai Thames tidak dapat ditutup, menjejaskan lalu lintas di London pada 22 Ogos 2020. – AP