Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Jambatan roboh di Kg Ayer bakal diganti

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Jambatan atau titian penghubung di kawasan perumahan Kampong Ayer merupakan salah satu kemudahan untuk penduduk kampung dan orang ramai.

    Dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan pengguna jambatan atau titian penghubung di kawasan perumahan Kampong Ayer, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Unit Jambatan, Bahagian Kampong Ayer, sentiasa melaksanakan pemantauan serta lawatan untuk memastikan ia masih kukuh dan selamat untuk digunakan.

    Setelah menerima aduan kejadian jambatan roboh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Pendidikan berserta JDBM bertindak segera dengan mengadakan tinjauan ke lokasi jambatan berkenaan.

    Pembantu Teknik Kanan, JDBM, Dayang Nurul Liyana binti Mohd Ariffin ketika ditemui di lokasi pembinaan semula jambatan penghubung di kawasan Sekolah Rendah Bendahara Lama, Kampong Ayer yang roboh baru-baru ini, menjelaskan bahawa sebelum sebahagian jambatan berkenaan roboh, pihak jabatan telah pun meletakkan papan tanda amaran yang menyatakan jambatan berkenaan tidak selamat untuk digunakan.

    Memandangkan struktur jambatan tidak lagi selamat untuk digunakan, dan dalam mengutamakan keselamatan pengguna, tindakan merobohkan lantai-lantai jambatan dilaksanakan dengan segera supaya ia tidak boleh dilalui. Jabatan juga telah melantik syarikat swasta untuk membina jambatan bersebelahan yang baharu bagi menggantikan jambatan lain dan dijangka siap dalam jangka masa dua hingga tiga minggu.

    Nurul Liyana melihat jambatan yang dalam proses pembinaan bagi jambatan baharu berdekatan dengan kedudukan jambatan lama.

    “Jalan atau laluan asal menuju ke Sekolah Rendah Bendahara Lama sebelum adanya jambatan penghubung adalah melalui jambatan Kampung Tamoi Tengah dan sementara menanti jambatan baharu ini siap, guru-guru dan murid sekolah berkenaan menggunakan laluan asal,” menurut Dayang Nurul Liyana. Selain melaksanakan pemantauan dan lawatan, JDBM juga akan memperbaiki mana-mana jambatan di bawah kawalan JDBM mengikut keutamaan.

    “KHEDN dan JDBM mempunyai perancangan untuk menaik-taraf jambatan secara berperingkat-peringkat dan ia juga mengikut keutamaan seperti jambatan utama menuju ke sekolah,” tambahnya.

    Selain itu, JDBM turut menasihatkan pembinaan jambatan atau titian yang dibina secara persendirian supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Bahagian Kampong Ayer, JDBM.

    Ini kerana di bawah Undang-undang Kesalahan Kecil (Penggal 30), Kesalahan-kesalahan berhubung dengan Bangunan-bangunan di Kampong Ayer Bab 33, tidak sesiapa pun boleh membangun, mendirikan, mengubah, menambah atau menyambung mana-mana bangunan di Kampong Ayer tanpa terlebih dulu mendapatkan persetujuan bertulis daripada Pegawai Daerah.

    “Perkara ini adalah untuk memastikan jambatan yang dibina sentiasa dalam keadaan yang kukuh dan selamat untuk digunakan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...