Jambatan runtuh akibat ‘kecuaian’

MUMBAI, 15 Mac – Polis India hari ini berkata mereka telah memfailkan kes kecuaian ke atas pihak berkuasa sivik dan perkhidmatan kereta api Mumbai selepas sebuah jambatan jalan kaki runtuh hingga menyebabkan enam maut dan mencederakan puluhan yang lain.

Jambatan tersebut, yang menjalani proses pengubahsuaian, runtuh pada sekitar jam 7:30 malam waktu setempat, semalam semasa waktu puncak tatkala para pejalan kaki sibuk membuat perjalanan menuju ke hentian Chhatrapati Shivaji, stesen utama kereta api bandar berkenaan. Kejadian terbaharu itu menonjolkan infrastruktur yang lemah di ibu negeri kewangan India itu, yang berlaku hampir dua tahun selepas 23 orang terbunuh di sebuah jambatan sempit dan penuh sesak di salah sebuah stesen di bandar itu.

Tiga orang wanita dan tiga orang lelaki, berusia antara 32 hingga 55 tahun, meninggal dunia dalam tragedi tersebut. Manakala, 33 orang lagi mendapat cedera.

Media India melaporkan bahawa tiga orang jururawat turut mendapat cedera, di mana dua daripada mereka meninggal dunia di sebuah hospital di mana mereka bekerja setelah para doktor gagal menyelamatkan nyawa mereka. – AFP

Seorang lelaki yang menjadi mangsa jambatan runtuh dirawat oleh pasukan perubatan di sebuah hospital di Mumbai, kelmarin. – AFP