Jambatan SHOAS dibuka 24 jam mulai hari ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, memaklumkan waktu operasi Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) yang dikemas kini.

JKR menyatakan bahawa jambatan SHOAS akan dibukakan sepenuhnya dan beroperasi secara 24 jam bermula esok (6 September).

Di kesempatan ini, pihak jabatan ingin mengingatkan para pengguna jambatan untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika menggunakan jambatan tersebut disebabkan adanya kerja-kerja pembaikan dan pemeliharaan dari semasa ke semasa di sepanjang jambatan berkenaan.

Sehubungan itu, pihak JKR menasihatkan orang ramai untuk mematuhi tanda-tanda lalu lintas yang disediakan serta memandu dengan perlahan ketika mendekati kawasan berkenaan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua.

Pihak jabatan juga ingin mengingatkan pengguna jambatan untuk sentiasa mematuhi had laju yang dibenarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123 atau livechat Talian Darussalam 123 (8333123) ataupun e-mel kepada permit.jambatan@pwd.gov.bn atau pro@pwd.gov.bn.

Pihak JKR memaklumkan bahawa waktu operasi Jambatan SHOAS dibuka sepenuhnya dan beroperasi secara 24 jam bermula hari ini.