Saturday, January 25, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jambatan Tambunan-Keningau akan dibina

    KENINGAU, 12 DIS – Sebuah jambatan kekal akan dibina di jalan menghubungkan Tambunan-Keningau berdekatan Kampung Liau Laut, dekat sini, dalam tempoh tiga bulan akan datang, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

    Beliau berkata kos pembinaan masih dalam kajian dan usaha membina jambatan kekal yang boleh menampung hingga 60 tan itu adalah langkah jangka panjang bagi memastikan kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut tidak berulang sekali gus memudahkan pergerakan penduduk ke daerah berhampiran.

    Arthur berkata jalan menghubungkan Tambunan-Keningau di kampung itu sudah dua kali runtuh susulan hujan lebat pada September dan November lepas, namun sebuah jambatan bailey telah dibina buat sementara waktu sebagai laluan alternatif penduduk untuk ke kawasan terbabit.

    “Jambatan bailey ini hanya langkah sementara kerana walaupun boleh dibina dalam masa singkat tetapi ia hanya satu lorong dan had muatan hanya lapan tan sahaja.

    Justeru, kita akan mencari peruntukan secara Arahan Kerja yang dikhaskan untuk kerja-kerja bencana bagi membina jambatan kekal.

    “Sekiranya semua berjalan dengan baik, kita menjangkakan kerja membina jambatan baru boleh dimulakan dalam masa tiga bulan dan setelah itu dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan. Diharap ini akan dapat menyelesaikan masalah tanah runtuh atau jalan terputus di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau jalan runtuh di kawasan tersebut hari ini. – Bernama

    Datuk Arthur Joseph Kurup ketika membuat lawatan ke lokasi runtuhan Jalan Persekutuan di Kampung Liau Apin Apin Keningau pada 12 Disember. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda