DHAKA, 26 JUN – Majlis pembukaan bagi pelancaran Jambatan Padma yang dibina oleh perusahaan China telah diadakan di sini kelmarin.
Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri Sheikh Hasina berkata, selepas pelancaran jambatan itu, ia akan menjadi platform pengangkutan penting bagi mewujudkan komunikasi terus antara ibu kota Dhaka dan 21 buah daerah di bahagian selatan negara itu melalui jalan darat dan kereta api.
“Jambatan bernilai AS$3.8 bilion itu dijangka menyumbang 1.23 mata peratusan kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Bangladesh dan mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 0.84 mata peratusan setahun,” tambahnya.
Selain itu, zon ekonomi baharu dan taman berteknologi tinggi juga akan dibina serta berpusat di jambatan itu. “Susulan itu, pelaburan domestik dan asing akan ditarik dan kadar perindustrian negara turut akan dipercepatkan,” jelas perdana menteri Sheikh Hasina.
“Jambatan Padma merupakan bahagian utama Rangkaian Lebuhraya Asia, sekali gus menyumbang besar kepada perdagangan serantau,” katanya lagi. Jambatan Padma berukuran sepanjang 9.8 kilometer itu terletak kira-kira 40 kilometer di barat daya Dhak. – Xinhua/AFP
