James Bond: No Time To Die pecah rekod

Filem terbaharu James Bond, No Time To Die memecah rekod francais ketika tayangan pembukaan di Britain dan Ireland, Khamis lalu mencatat kutipan sebanyak RM142 juta.

Filem penampilan terakhir Daniel Craig sebagai James Bond itu juga meraih pembukaan domestik terbaik selama tiga hari dalam sejarah 60 tahun James Bond.

Ia juga menjadi pelancaran filem terbesar di Britain sejak pandemik COVID-19 melanda hampir dua tahun lalu.

Universal Pictures dalam satu kenyataan berkata, ia memacu keyakinan kebangkitan semula bagi industri yang tersekat sebelum ini.

Tayangan No Time To Die dibuka di 54 negara termasuk Jerman, Sepanyol, Brazil dan Jepun yang mencatat kutipan sebanyak RM505 juta.

Filem baharu James Bond itu juga meraih pembukaan domestik terbaik dalam sejarah 60 tahun James Bond. – Agensi

Ia sekali gus menjadikannya filem Hollywood pertama yang memecah kutipan RM418 juta tanpa mengira China di antara lokasi tayangan pembukaannya.

Filem yang turut dibintangi Rami Malek, Lashana Lynch dan Ana de Armas itu akan dilancarkan di Amerika Syarikat, Jumaat ini.

Peminat di Britain berpusu-pusu ke pawagam di seluruh negara pada hujung minggu lalu untuk menyaksikan pengembaraan terbaharu ejen 007 yang 18 bulan terlewat daripada tayangan asal.

Filem arahan Cary Joji Fukunaga ini turut mendapat banyak respons positif.

“Ini lebih baik daripada yang baik. Ini luar biasa,” kata pengkritik filem akhbar The Times, Kevin Maher yang memberikan lima bintang.

“Craig adalah kemunculan karismatik yang menjulang tinggi dari pembukaan cerita sehingga tembakan penutup. Dia juga tampil dengan gaya hebat dan penuh semangat,” katanya.

Bagaimanapun, ada yang tidak setuju mengenai durasi panjang filem ini selama dua jam 43 minit. – Agensi