James semakin pulih – Lakers

LOS ANGELES, 11 Jan – LeBron James masih belum dapat beraksi sekurang-kurangnya untuk satu minggu ketika dia terus menjalani pemulihan daripada kecederaan groin, menurut Los Angeles Lakers semalam.

James tidak beraksi sejak cedera dalam aksi kemenangan Lakers ke atas Golden State Warriors pada 25 Disember lalu.

Laporan terkini perubatan Lakers semalam telah memaklumkan bahawa James semakin pulih dan dibenarkan untuk menjalani latihan.

“LeBron James telah dipantau oleh kakitangan perubatan dan pakar perubatan hari ini,” kata Lakers.

“James masih menjalani pemulihan daripada kecederaan groin dan dibenarkan untuk melakukan pergerakan di gelanggang bola keranjang.”

Gambar fail pada 17 Disember 2018 menunjukkan reaksi James dalam perlawanan antara Lakers dengan Brooklyn Nets di Barclays Center di Bandar New York. – AP

Kenyataan itu juga berkata laporan terkini mengenai kesihatan James akan dikeluarkan pada 16 Januari ini, yang bermaksud bahawa bintang NBA itu mungkin direhatkan untuk tiga perlawanan Lakers.

Lakers tewas lima kali daripada lapan perlawanan sejak kecederaan James dan pada masa ini menduduki tangga kelapan dalam Western Conference dengan catatan rekod 23-19.

Dalam perkembangan terbaharu, James dan bintang Milwaukee Bucks, Giannis Antetokounmpo terus berada di tempat teratas dalam undian terkini peminat bagi All-Star NBA.

Manakala, Kevin Durant yang menjadi Pemain Paling Bernilai (MVP) Final NBA sebanyak dua kali berturut-turut telah tersingkir daripada barisan utama All-Star bagi Western Conference dan digantikan oleh pemain Oklahoma City, Paul George.

Dengan pengundian yang masih lagi berlangsung itu, George adalah sebahagian daripada pemain utama All-Star Western Conference yang dipimpin oleh James dan juga menampilkan pemain muda Dallas Mavericks, Luka Doncic; pemain Minnesota Timberwolves, Derrick Rose dan rakan sepasukan Durant dari Golden State Warriors, Stephen Curry. – AFP