Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jamilah dapat kekuatan daripada keluarga, pengundi

    KUCHING, 28 Jun – “Saya kehilangan seorang suami yang juga disayangi rakyat, pastinya saya bersedih dengan pemergian beliau, tetapi hidup perlu diteruskan”.

    Itu kata-kata yang dilontarkan Datuk Amar Hajah Jamilah Anu, balu kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika ditemui di kediamannya di Damai Jaya, Santubong dekat sini hari ini.

    Terdahulu, Jamilah menerima kunjungan daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di kediamannya.

    Jamilah, yang menggantikan Allahyarham Adenan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu berkata, tanggung-jawab kepada anak-anak, cucu serta kepercayaan pengundi di kawasannya menjadi kekuatan kepada Jamilah ketika menghadapi waktu sukar saat kehilangan suami tercinta.

    Allahyarham Adenan, yang lebih dikenali sebagai Tok Nan, ketua menteri Sarawak kelima, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan pada 11 Januari lepas.

    Berkongsi kenangan sebagai pasangan suami isteri selama 38 tahun khususnya ketika menyambut Ramadan dan Syawal, Jamilah berkata Allahyarham sentiasa mengingatkan kepada beliau agar melebihkan sedekah pada kedua-dua bulan mulia ini.

    Datuk Amar Abang Johari ketika mengunjungi Datuk Amar Hajah Jamilah sempena Hari Raya Aidilfitri di Damai Jaya, Santubong kelmarin- Bernama
    Datuk Amar Abang Johari ketika mengunjungi Datuk Amar Hajah Jamilah sempena Hari Raya Aidilfitri di Damai Jaya, Santubong kelmarin. – Bernama

    “Pada bulan puasa, arwah suami akan berkunjung ke masjid dan surau di kawasan Tanjong Datu untuk memberi sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan golongan orang kurang upaya. Beliau tegaskan kita seharusnya membantu golongan itu agar mereka juga dapat merayakan Aidilfitri sama seperti orang lain,” katanya.

    Mengenai sambutan Aidilfitri yang pertama kalinya disambut tanpa kehadiran suami di sisi, Jamilah berkata kenangan merayakan hari raya bersama Allahyarham Adenan ketika menjadi ketua menteri yang mengalu-alukan kedatangan ribuan orang daripada pelbagai lapisan masyarakat ke majlis rumah terbuka mereka, sentiasa kekal dalam hatinya.

    “Tahun ini ramai yang berkunjung ke rumah antaranya tetamu dari kawasan Tanjong Datu, Muara Tuang serta rakan-rakan dari sekitar Kuching yang bertanya khabar. Saya juga amat berterima kasih kepada rakan-rakan media, rakyat serta penduduk Tanjong Datu yang memberi peluang untuk saya menjadi wakil rakyat mereka,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda