Jamin keselamatan pengumpulan data

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Keselamatan data kini berdepan dengan pelbagai cabaran seiring dengan perubahan teknologi yang pesat, di mana pelbagai cabaran baharu perlu ditempuhi termasuklah dalam menjaga kerahsiaan data yang dikumpulkan serta dimiliki oleh kerajaan dan badan-badan separa kerajaan.

Isu-isu yang berbangkit mengenai keselamatan data adalah sangat rumit di mana seluruh kerajaan setentunya akan sama-sama terlibat dalam memastikan pengumpulan data dilakukan secara terjamin.

“Undang-undang adalah pertahanan pertama dan terakhir untuk menjamin keselamatan data kerajaan,” tegas Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid ketika berucap pada Perasmian Acara Pejabat Peguam Negara, Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura (TriAGC) ke-9 di Hotel Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.

Turut hadir dan sama-sama menyempurnakan perasmian acara berkenaan ialah Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Tommy Thomas dan Peguam Negara Republik Singapura, Lucien Wong Yuen Kuai.

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni lagi, dengan wujudnya platform seperti Wikileaks, pendedahan data kerajaan yang sensitif dapat menjejaskan kerja-kerja agensi keselamatan awam dan keselamatan pekerja-pekerja. Dalam bidang kerja kritikal itu, beliau percaya bahawa banyak yang dapat dipelajari daripada pertukaran pengalaman di antara ketiga-tiga Pejabat Peguam Negara.

Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni, Tan Sri Tommy Thomas dan Lucien Wong Yuen Kuai selepas melancarkan Acara Pejabat Peguam Negara, Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura kali ke-9, kelmarin.
Antara yang menghadiri acara tersebut.

Sementara itu, Tan Sri Tommy Thomas dalam ucapannya menyatakan bahawa ketiga-tiga buah negara mempunyai banyak persamaan termasuk sistem perundangan yang serupa dan juga berhadapan dengan isu-isu serupa yang menjadi kebimbangan bersama.

Dalam hubungan itu, beliau yakin bahawa pengalaman yang dilalui oleh sesebuah negara dan kaedah untuk menangani isu berkenaan boleh dikongsi serta dijadikan pengajaran bagi mereka untuk menghadapi cabaran era baharu ini.

Beliau menyatakan bahawa dengan perkembangan teknologi yang pesat dan penyebaran maklumat melalui media sosial, negara di seluruh dunia kini berhadapan dengan masalah yang serupa iaitu penyebaran maklumat palsu atau penipuan yang semakin berleluasa menerusi kaedah dalam talian.

Ke arah itu, beliau menyeru mereka untuk belajar daripada satu sama lain dan berkongsi pengalaman dalam menangani masalah serta kebimbangan yang dikongsi bersama itu.

Manakala itu, Lucien Wong dalam ucapannya pula menyatakan bahawa acara itu merupakan platform yang berguna bagi mereka untuk berkongsi pengalaman dan membina hubungan yang amat penting kerana ia dapat membantu mereka dalam melaksanakan tugas.

Beliau menyatakan bahawa ketiga-tiga buah negara berhadapan dengan isu-isu yang serupa termasuk isu mengenai dengan berita palsu dan penyebaran maklumat palsu menggunakan Internet. Oleh itu, beliau yakin bahawa mereka mempunyai pengalaman yang amat berguna bagi menangani isu-isu yang dihadapi bersama dan percaya bahawa menerusi platform pertemuan serta kerjasama erat di antara ketiga-tiga pejabat peguam negara itu, mereka dapat berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Acara yang dihoskan oleh Pejabat Peguam Negara Brunei Darussalam itu telah bermula kelmarin hingga esok dengan membawa tema ‘Perundangan di Abad ke-21: Cabaran Masa Akan Datang dan Hala Tuju’ dan disertai oleh lebih 120 orang peserta terdiri daripada pegawai-pegawai dari ketiga-tiga Pejabat Peguam Negara yang mendengarkan pembentangan yang membincangkan topik-topik di pelbagai bidang perundangan termasuk isu-isu berkaitan hal ehwal antarabangsa, penggu-balan undang-undang, perkhidmatan awam dan kerahsiaan serta keadilan jenayah.

Di samping itu juga, peserta juga berpeluang untuk ikut serta dalam sesi aktiviti berkumpulan bagi mengeratkan lagi hubungan di antara pegawai-pegawai dari ketiga-tiga Pejabat Peguam Negara.