Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jamin penjawat awam sokong kerajaan baharu’

    KOTA KINABALU, 7 Ogos – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memberi jaminan penjawat awam persekutuan di Sabah menyokong penuh kepimpinan kerajaan negeri baharu yang diterajui Parti Warisan Sabah.

    Ali berkata pihaknya juga berharap penjawat awam negeri akan memberi sokongan seratus peratus kepada kepimpinan kerajaan negeri sekarang yang diterajui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

    “Pada asasnya, apa yang perlu kita (penjawat awam persekutuan) buat ialah mengikuti semua dasar yang ditetapkan kerajaan. Antaranya mentadbir mengikut undang-undang dengan ‘good governance’ (tadbir urus yang baik) diberi penekanan menerusi kerajaan baharu. Jadi semua penjawat awam perlu mengamalkan semua amalan ini,” katanya.

    Tan Sri Dr Ali Hamsa (3 dari kiri) bersama para penjawat awam pada majlis amanat penjawat awam negeri Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kelmarin. – Bernama

    Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah di sini hari ini.

    Beliau berkata kepatuhan dan sokongan semua penjawat awam kepada kerajaan sedia ada amat penting bagi memastikan dasar yang ditetapkan dapat dilaksana dengan lancar untuk faedah rakyat di seluruh negeri.

    “Kita (pegawai awam persekutuan dan negeri) masing-masing ada peranan. Yang penting kita selalu adakan kolaborasi dan juga kerjasama serta rundingan sebelum membuat projek serta keperluan projek,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda