Jana idea baharu, pacu perkhidmatan berkesan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Majlis pembukaan Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan kali ke-28 (EDPSGO-28) dan Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan kali ke-29 (EDPMMO-29) bagi tahun 2020 berlangsung hari ini di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Dalam ucapan pembukaan majlis, Awang Mohammed Riza menjelaskan bahawa kerajaan perlu sentiasa bersedia dengan melihat ke hadapan dan menjadi inovatif dengan penyediaan dasar dan peraturan serta inisiatif-inisiatif dan inovasi-inovasi yang boleh membantu semua pihak secara win-win situation.

“Ini bermaksud ia boleh dilaksanakan dan dimanfaatkan oleh semua pihak dan di sinilah pengertian sebenar pendekatan Whole of Nation Approach,” tambahnya.

Beliau berkata bahawa situasi pandemik COVID-19 telah menggesa kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan menyediakan Business Continuity Pelan (BCP) supaya perkhidmatan yang diberi akan terus diberikan.

Awang Mohammed Riza bergambar ramai bersama para pegawai kanan kerajaan semasa majlis pembukaan EDPSGO-28 dan EDPMMO-29 yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, UTB. – Gambar serahan UTB

“Kita juga telah dapat menghasilkan garis panduan pemberian perkhidmatan dalam masa yang singkat. BCP yang dihasilkan perlulah dijadikan asas dan dihalusi lagi supaya ianya benar-benar lengkap dan boleh dilaksanakan,” tekannya.

Beliau seterusnya berkata bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menggesa warga perkhidmatan awam supaya menjana idea-idea baharu bagi memacu penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan. Penyediaan dasar, peraturan dan perancangan pemberian perkhidmatan memerlukan pemimpin berdedikasi, inovatif dan berpandangan jauh.

Menurutnya lagi, “Kerajaan Baginda dalam usahanya telah melaksanakan perkhidmatan secara digital melalui strategi yang disusun oleh Majlis Ekonomi Digital (DEC). Saya percaya ini akan dapat membantu memodenkan perkhidmatan awam, mempertingkatkan produktiviti dengan penggunaan teknologi dalam melicinkan aliran pekerjaan dalaman di samping mempermudahkan penyampaian perkhidmatan pada pelbagai peringkat.”

Program-program Pembangunan Eksekutif yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam ini merupakan program-program flagship di bawah pelaksanaan Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) yang diwujudkan bagi mendokong hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Institusi di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam. Antara tujuan CSLP adalah untuk menyediakan Leadership Pool dari kalangan pegawai-pegawai Bahagian II ke atas yang berpotensi bagi membantu Perancangan Strategik Sumber Manusia dalam Perkhidmatan Awam.

EDPSGO dan EDPMMO pada kali ini dijalankan dengan kerjasama pihak UTB selama lebih kurang 14 minggu dan melibatkan 49 orang peserta bagi kedua-dua program tersebut.

Program-program itu secara amnya bertujuan untuk menyediakan pegawai-pegawai dalam CSLP dengan kompetensi-kompetensi kepimpinan di tahap pengurusan yang lebih tinggi.

Kali ini, walaupun dengan cabaran penularan COVID-19 yang dialami secara global sejak penghujung tahun 2019, aktiviti pembelajaran dan pengajaran masih melibatkan gabungan pakar dan fasilitator dari dalam dan luar negara. Ini dicapai melalui penggunaan teknologi termasuk pelaksanaan kelas-kelas secara dalam talian dan lawatan secara maya (virtual).

Turut hadir setiausaha tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan naib canselor UTB, timbalan setiausaha tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media) di JPM, timbalan setiausaha tetap Kementerian Pertahanan.