Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jana Kapital tamat ujian BDCB FinTech Regulatory Sandbox

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) ingin memaklumkan Jana Kapital telah menamatkan ujian di dalam BDCB FinTech Regulatory Sandbox pada 10 Oktober lalu.

    Ini adalah berikutan dengan perancangan syarikat tersebut untuk menyelaraskan semula model perniagaannya yang tidak termasuk skop asal ujian dalam BDCB FinTech Regulatory Sandbox.

    Jana Kapital mula menguji aktiviti platform Islamic peer-to-peer (P2P) crowdfunding di dalam BDCB FinTech Regulatory Sandbox pada 5 Ogos 2019. Aktiviti tersebut menawarkan sumber pembiayaan alternatif untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), di samping menawarkan peluang pelaburan kepada orang ramai.

    BDCB FinTech Regulatory Sandbox telah dilancarkan pada 27 Februari 2017 untuk memudahkan pembangunan teknologi kewangan ataupun FinTech di Negara Brunei Darussalam. Sandbox tersebut memberikan peluang kepada syarikat-syarikat FinTech yang berkelayakan untuk menguji produk dan perkhidmatan FinTech mereka dalam persekitaran pengawalseliaan yang fleksibel dalam tempoh masa dan parameter yang dipersetujui.

    Jenis produk dan perkhidmatan FinTech yang boleh diuji melalui Sandbox tersebut termasuk aktiviti-aktiviti perbankan, insurans atau takaful, pasaran modal atau produk dan perkhidmatan kewangan yang inovatif di bawah bidang kuasa pengawalseliaan BDCB yang berpotensi untuk memberikan manfaat kepada pengguna kewangan.

    Dalam pada itu, orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai garis panduan FinTech Regulatory Sandbox, serta proses dan keperluan bagi pengujian, boleh melayari laman web BDCB di https://www.bdcb.gov.bn.

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda