Jana kemahiran seiring ledakan teknologi

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) percaya bahawa para graduan mampu untuk mengikuti sebarang perubahan dalam paradigma ekonomi dan cabaran-cabaran baharu.

“Salah satu contoh cabaran baharu itu ialah seperti ledakan teknologi yang membawa kepada perubahan-perubahan terpantas dalam sejarah tamadun manusia di mana aplikasi teknologi lebih menonjol pada era Revolusi Industri Keempat kini,” titah Baginda pada Majlis Konvokesyen ke-31 UBD yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Titah Baginda lagi, kepentingan teknologi pada era kini amat ketara dan negara tidak boleh ketinggalan, malah perlu mengemaskan diri termasuk mengemaskinikan sistem pendidikan selaras dengan keperluan.

“Di antara keperluan utama ialah untuk menjana kemahiran kerana ianya sangat mustahak dalam persaingan dan tanpa kemahiran, kita hanya akan jadi penonton.

“Maka dalam hubungan ini, Beta gembira mengetahui bahawa UBD telah memulakan langkah melaksanakan inisiatif-inisiatif digital, seperti memperkenalkan perspektif digital dalam semua Program Sarjana Muda dan mengemaskinikan Sarjana Muda Sains Komputer yang merangkumi pelbagai jurusan sains digital seperti Data Analytics, Artificial Intelligence dan keselamatan siber atau Cybersecurity.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan pada Majlis Konvokesyen ke-31 UBD.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam ke-31 di Dewan Canselor UBD. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah.

“Beta juga difahamkan UBD telah memperkenalkan dual degree yang berunsur perspektif digital dalam bidang kejuruteraan, khususnya Smart Manufacturing Technologies di tahap sarjana dan kedoktoran bersama Universiti Sungkyunkwan, iaitu salah sebuah universiti utama di Republik Korea dan di arena antarabangsa.”

Baginda dalam titah tersebut berharap inisiatif-inisiatif itu bukan sahaja akan dapat menghasilkan graduan celik digital teknologi future ready, tetapi juga turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Menyentuh mengenai future ready, ia adalah untuk memastikan semangat para graduan tidak hanya untuk menceburi pekerjaan sedia ada, tetapi mereka sendiri juga mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Baginda difahamkan bahawa Entrepreneurship Village di UBD telah diperluaskan dengan penubuhan The UBD Start-Up Centre, di mana pusat berkenaan adalah kolaborasi bersama Darussalam Enterprise yang akan melibatkan projek keusahawanan berdasarkan kepelbagaian bidang dan mempunyai perspektif Revolusi Industri ke-4.

“Ini adalah satu penerokaan, jika ia diurus dengan baik, boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, terutama sebagai sokongan untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Selain itu, Baginda Sultan juga bertitah menekankan bahawa ada beberapa kepentingan patut diambil berat iaitu mengenai perkembangan kapasiti manusia yang memerlukan ciri-ciri kepimpinan sama ada pada peringkat petugas mahupun pelajar.

“Kedua-duanya adalah sama penting untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti yang mempunyai visi serta idea-idea membina,” tekan Baginda dalam titahnya.

Baginda bertitah bahawa perkara tersebut boleh dicapai melalui pengemasan kurikulum dan me-ngadakan program-program khusus, seperti program-program eksekutif.

Namun dalam pada itu, Baginda menekankan agar jangan pula dilupakan kepimpinan Islam sebagai jurusan khusus dan utama di UBD.

Baginda Sultan menegaskan agar Islam tidak terpinggir untuk memupuk kepimpinan dan cara hidup dalam kalangan semua warga UBD.

Di samping itu, Baginda Sultan juga menasihatkan agar UBD perlu kekal dengan etikanya sendiri dan bersikap tidak meniru-niru pendekatan orang lain, misalnya, dalam perkara penganugerahan ijazah kepada pelajar mahupun kepada sesiapa saja, ia perlulah 100 peratus bersifat ‘pengiktirafan ilmu’, bukan dicampuradukkan dengan kepen-tingan politik.

“Kerana jika dicampur, maka ijazah mungkin saja akan jadi seperti barang dagangan atau alat untuk menjejaskan penerimanya. Ini berlaku apabila ijazah yang dianugerahkan itu ditarik balik kerana sebab-sebab politik.

“Di sini, UBD dan semua pusat pengajian tinggi kita, janganlah meniru pendekatan seperti ini, iaitu suatu pendekatan yang tidak Islamik,” tegas Baginda Sultan di hujung titahnya.