Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jana pendapatan lumayan melalui pembuatan produk seramik

    KOTA BAHARU – Ketika majoriti gadis seusianya memilih pekerjaan bergaji tetap, Nur Syazwani Izyan Jefridin pula lebih senang menceburkan diri dalam kerjaya yang
    memerlukan dirinya bermain dengan tanah liat.

    Tidak kisah setiap hari comot kerana kesan tanah liat dan terpaksa menahan bahang panas dapur seramik, pemilik Belipot Craft Ceramic, Nur Syazwani Izyan boleh berbangga 80 jenis produk seramik dan tembikar hasil tangan beliau semakin mendapat permintaan tinggi pelanggan.

    Gadis berusia 31 itu berkata minat terhadap bidang tersebut bermula sejak kecil kerana sering melihat bapanya Jefridin Mat, 59, menghasilkan produk daripada tanah liat di bawah rumah mereka sekitar 2010.

    “Selepas menamatkan pengajian peringkat diploma pada 2013, atas rasa ingin membantu ayah dan minat, saya buat keputusan untuk fokus sepenuh masa dalam bidang ini.

    “Ketika ini Belipot Craft Ceramic menghasilkan kira-kira 80 produk antaranya cenderahati perkahwinan seperti bekas telur, tabung serta barangan hiasan seperti pasu dan lampu.

    Nur Syazwani Izyan menunjukkan pemanas tungku iaitu antara produk seramik dan tembikar paling laris dijual ketika ditemui Bernama di Kampung Bunut Payong baru-baru ini. – Bernama
    Gambar Bernama

    Barangan yang paling mendapat sambutan ialah pemanas tungku,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Bunut Payong.

    Bercerita lanjut, Nur Syazwani yang mesra disapa Onie berkata bahan mentah utama iaitu tanah liat jenis terracotta diperoleh dari sekitar Kota Bharu dan produk dihasilkan di sebuah bengkel berhampiran kediaman keluarganya.

    Menurut bekas pelajar Diploma Pengurusan di Management, Science University (MSU) Kota Bharu itu proses menghasilkan produk berasaskan tanah liat memerlukan beberapa peringkat, bermula dengan tanah liat cair akan dimasukkan ke dalam acuan mengikut jenis produk.

    Beliau berkata proses akan diulang beberapa kali mengikut ketebalan yang dikehendaki sehingga produk dihasilkan.

    “Selepas beberapa jam, produk akan dikeluarkan dari acuan dan proses mencantum dan kemasan akan dibuat.

    Produk akan kering selepas dua atau tiga hari.

    “Selepas produk kering, ia akan disusun dan seterusnya dibakar di dalam dapur seramik selama tujuh jam pada suhu 950 darjah Celsius.

    Secara purata setiap satu produk perlu mengambil masa empat hari untuk disiapkan,” katanya yang dibantu seorang pekerja.

    Menurut Nur Syazwani syarikatnya menghasilkan lebih 2,000 pelbagai produk menggunakan kira-kira 500 kilogram tanah liat.

    Harga jualan bermula RM1.50 hingga RM85 bergantung kepada saiz dan jenis produk setiap bulan.

    “Kira-kira 90 peratus produk dijual secara dalam talian manakala baki menerusi penyertaan pada program kraftangan atau pelanggan datang membeli terus di bengkel tersebut,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda