Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jana perekonomian, tingkat kualiti hidup

    Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) ditubuhkan dengan peranan utama untuk mengenal pasti dan merancang pembangunan Daerah Temburong.

    Ia bukan sahaja untuk menjana aktiviti perekonomian di daerah berkenaan tetapi juga akan dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2020) Perbekalan 2020/2021 pada hari ketiga persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau mendedahkan bahawa antara projek-projek yang telah dikenal pasti ialah projek menghidupkan Pekan Bangar yang menumpukan inisiatif-inisiatif yang dapat menjana perekonomian khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di daerah berkenaan dan projek memajukan Mukim Labu.

    Di samping itu, beberapa projek penaiktarafan juga akan dilaksanakan di Taman Rekreasi Hutan Bukit Patoi dan Taman Negara Ulu-Ulu Temburong yang dijangka akan menjadi tarikan besar pelancong-pelancong berkunjung ke Daerah Temburong, lebih-lebih lagi dengan projek pembinaan Jambatan Penghubung Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong yang dijangka akan mula digunakan pada 2020 ini.

    Di samping usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, jelas Yang Berhormat Dato, penglibatan sektor swasta dan pelaburan langsung asing adalah sangat penting dalam memainkan peranan sebagai pemangkin yang signifikan dalam memajukan Daerah Temburong.

    “Dalam hal ini, AKDT sedang bekerjasama dengan arkitek-arkitek tempatan dalam merancang reka-reka bentuk unik dan kreatif, dan menerokai penubuhan infrastruktur yang dapat meningkatkan connectivity di Daerah Temburong.

    “Beberapa projek pelaburan langsung asing dari Republik Singapura dan Jepun telah menyatakan hasrat untuk membangunkan infrastruktur dan mengendalikan aktiviti-aktiviti di Daerah Temburong, yang pada masa ini sedang dalam fasa kajian feasibility,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda