Jangan abai keselamatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan keselamatan adalah perkara yang tidak boleh diabaikan, apa-apa jua perkara yang tidak selamat mestilah dielakkan.

Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, menekankan bahawa atas faktor ‘keselamatan’ itu jugalah ibadah haji tahun ini ditangguhkan.

“Jadi, penangguhan untuk menunaikan ibadat haji bagi mereka yang tersenarai pada tahun ini janganlah merasa kecewa atau berdukacita, berdasarkan niat baik mereka telah pun terpahat di sisi Allah untuk diberikan ganjaran pahala menurut kehendakNya,” titah Baginda.

Baginda menjelaskan pada zahirnya penangguhan itu adalah satu kerugian sekali gus juga ujian yang menguji kesabaran tetapi apabila kita menerimanya dengan sabar maka tidak mustahil Allah akan menukar kerugian itu dengan keuntungan.

Ia adalah berdasarkan niat awal untuk melakukan ketaatan kepada Allah tapi dengan takdirNya juga niat yang baik itu terhalang oleh keadaan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah sempena Hari Raya Aidiladha. – Gambar oleh Infofoto

Titah Baginda lagi, Allah yang Maha Pemurah akan menulis ganjaran bagi hambaNya yang berniat untuk melakukan amal soleh, walaupun ia belum melaksanakan niatnya itu, sebaliknya hamba yang berniat untuk melakukan kejahatan tidak akan ditulis kejahatannya kecuali setelah ia melaksanakan niat jahatnya itu.

“Inilah tanda kepermurahan Allah, Dia mengurniakan ganjaran niat yang baik walaupun belum berlaku lagi sebarang amal melaksanakan niat baik itu. Begitu juga tanda keadilan dan belas kasihan Allah, Dia tidak atau belum menghukum sesiapa yang berniat jahat selama mana niat jahat itu belum dilaksanakan menjadi kenyataan,” titah Baginda.

Terdahulu, Baginda bertitah menjelaskan Aidiladha yang dinamakan juga sebagai Hari Raya Korban adalah disunatkan untuk menyembelih binatang korban.

Peristiwa korban adalah berasal daripada perintah Allah kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih putera Baginda, Nabi Ismail AS di mana peristiwa tersebut benar-benar menguji keimanan dan kesabaran dua beranak ini, namun akhirnya mereka berjaya melalui ujian tersebut.

Adapun kita umat yang datang kemudian adalah wajar untuk membina azam bagi memiliki keimanan dan kesabaran yang sama khasnya ketika kita menghadapi satu ujian yang berat lagi mencabar.

“Dunia pada masa ini termasuk kita umat Islam masih saja diuji dengan pandemik koronavirus di mana setiap negara mempunyai pasukan petugas masing-masing dan mereka ini tidak syak lagi memiliki semangat rela berkorban yang tinggi sehingga sanggup berhadapan dengan risiko bahaya tanpa mengira masa dan keadaan.

“Kesanggupan ini menandakan sikap sabar yang tebal dalam kalangan para petugas itu, sesungguhnya ia bukanlah sia-sia tapi bagi kita orang Islam telah dijanjikan dengan ganjaran istimewa sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Az-Zumar Ayat 10, tafsirnya, Sesungguhnya hanya orang-orang yang sabar juga yang akan disempurnakan untuk mereka itu ganjaran pahala tanpa terkira,” titah Baginda lagi.

Dalam mengakhiri titah tersebut, Baginda dan kerabat diraja turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, semoga sekalian kita akan mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah berkat Hari Raya yang mulia ini.