Jangan abaikan arahan kerajaan

Bagi memeriahkan sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan, gerai-gerai perayaan setentunya diadakan.

Namun pada tahun ini agak berbeza berikutan penularan wabak COVID-19 secara global yang menggalakkan orang ramai mengekalkan amalan penjarakan sosial, mementingkan kebersihan diri dan tidak melakukan perkumpulan ramai.

Walau bagaimanapun, agak mengecewakan sedikit terhadap perilaku rakyat dan penduduk di negara ini tidak menghiraukan penjarakan sosial ketika berada di gerai-gerai perayaan. Walhal masing-masing setentunya masih ingat perkumpulan ramai belum dibenarkan sama sekali. Tetapi kenapa masih ramai yang berduyun-duyun ke gerai perayaan? Mana pihak berkuasa yang mengawal kemasukan para pengunjung?

Memang tidak dinafikan setakat ini negara kita sudah mencatatkan angka sifar bagi jangkitan baharu. Namun, ia tidak bererti virus sudah tiada dan kita bebas melakukan perkumpulan ramai. Saya tahu pihak tertentu sudah melakukan sebaik mungkin mengurangkan gerai-gerai jualan tetapi bagaimana pula dengan pengawalan masuk ke kawasan gerai? Adakah ada pengawalan?

Sepatutnya ada pengawalan bagi memasuki kawasan gerai perayaan. Ini apa yang saya lihat sendiri, banyak perkumpulan ramai yang berlaku. Ada yang mengemuruni gerai jualan tanpa menghiraukan penjarakan sosial. Pemakaian penutup mulut dan hidung diabaikan. Semua sekali hanya memikirkan keseronokan dan lupa dengan penularan virus. Negara kita masih di bawah ancaman virus, jadi janganlah disamakan perayaan pada tahun-tahun yang sudah dengan tahun ini.

Kita tahu vaksin virus masih dalam proses dan biarlah kita melakukan tugas kita sebagai rakyat dan penduduk negara ini membendung penularannya dengan mengikuti arahan-arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Kita Mampu Mengubahnya