Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Jangan abaikan ibu bapa yang berumur lanjut

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Dua

    4. Mendoakan ibu bapa

    Antara tanggungjawab anak kepada kedua ibu bapa ialah sentiasa mendoakan mereka dengan kebaikan dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka yang telah mereka lakukan.

    Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka sudah lanjut usia, hendaklah mereka merendahkan diri mereka dengan rasa tawadhu‘ dan tidak melakukan perbuatan yang dianggap melampau kepada mereka dan menjaganya dengan penuh kasih sayang di samping itu mendoakan mereka. Antara doa yang boleh dibaca sebagaimana disebutkan dalam ayat Al-Qur’an yang tafsirnya:

    “Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi).” (Surah al-Isra’: 24)

    Anak-anak selain bertanggungjawab mendoakan ibu bapa ketika keduanya masih hidup, mereka juga bertanggungjawab mendoakan ibu bapa setelah keduanya sudah meninggal dunia. Ini kerana doa anak yang saleh itu merupakan salah satu amalan yang tidak putus setelah ibu atau bapa meninggal dunia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Apabila mati seseorang manusia, maka terputuslah amalannnya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak saleh yang mendoakannya.” (Hadits riwayat Muslim)

    Antara tanggungjawab anak kepada kedua ibu bapa ialah sentiasa mendoakan mereka dengan kebaikan dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka yang telah mereka lakukan.

    Sementara itu, perkara berbakti kepada kedua ibu bapa setelah mereka meninggal dunia ini juga pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Usaid Malik bin Rabi‘ah Assa‘idi Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    “Ketika kami duduk di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba datang seorang laki-laki dari suku Bani Salamah lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang dapatku lakukan untuk berbakti kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal dunia?”

    Rasulullah bersabda: “Ya ada, mengerjakan sembahyang ke atas kedua- nya, meminta keampunan bagi keduanya, memenuhi janji mereka yang belum terlaksana, menyambung tali persaudaraan yang dahulu biasa mereka lakukan dan menghormati sahabat-sahabat mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)

    Berdasarkan hadits di atas, selain mendoakan mereka, anak-anak hendaklah juga turut menyembahyangkan jenazah mereka, memenuhi janji mereka yang belum terlaksana, menyambung tali persaudaraan dan menghormati sahabat-sahabat mereka. Ini merupakan perkara kebaikan yang boleh dilakukan untuk berbakti terhadap orang tua.

    5. Memberi nafkah

    Termasuk dalam tuntutan berbuat al-ihsan iaitu berbuat baik kepada ibu bapa juga ialah memberi nafkah kepadanya, hatta kepada ibu bapa yang bukan Islam. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15)

    Para ulama sepakat mengatakan bahawa anak wajib memberikan nafkah kepada kedua ibu bapa yang tidak ada pendapatan atau tidak ada harta sebagaimana disebutkan oleh Ibnu al-Mundzir Rahimahullahu Ta‘ala.

    Oleh itu, jika seorang anak mempunyai ibu bapa yang tidak mempunyai harta (fakir), ataupun tidak berdaya untuk mencari nafkah kerana sakit umpamanya, sedang anak itu mempunyai kemampuan dari segi harta ataupun mampu untuk mencari nafkah, maka dalam keadaan ini anak tersebut wajib memberi nafkah ibu bapanya itu.

    Hatta jika ibu bapa yang fakir itu mampu untuk bekerja mencari nafkah, kewajipan memberi mereka nafkah tetap tertanggung ke atas anaknya yang mempunyai kemampuan harta atau kemampuan untuk bekerja mencari nafkah. Ini kerana anak-anak adalah diperintahkan untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan adalah tidak patut jika ibu bapa dibebankan untuk bekerja mencari nafkah dalam keadaan mereka yang sudah umur lanjut dan lemah anggota badan.

    Dalam konteks ibu bapa yang sudah lanjut usia, setentunya mereka tidak lagi mampu untuk mencari rezeki sendiri. Oleh itu, anak-anak bertanggungjawab untuk memenuhi segala keperluan serta mengurus segala kebajikan yang berkaitan dengan mereka.

    Inilah antara beberapa tanggungjawab anak kepada ibu bapa.

    Kedudukan anak yang berbakti kepada orang tua

    Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam ada bersabda dalam sebuah hadits mengenai seorang sahabat yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah sehingga kisah sahabat itu telah dikhabarkan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Sayyidina ‘Umar al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu. Orang yang dimaksudkan itu ialah Uwais bin ‘Amir bin al-Qarni Radhiallahu ‘anhu.

    Kisah Uwais bin ‘Amir bin al-Qarni Radhiallahu ‘anhu boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kerana baktinya kepada orang tuanya.

    Dia mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah Ta‘ala dan merupakan salah seorang yang doanya mustajab sehingga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mengakuinya.

    Kisahnya bermula dari pertemuannya dengan Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu. Ketika Sayyidina ‘Umar didatangi oleh serombongan pasukan dari Yaman, dia pun bertanya kepada mereka, “Adakah di kalangan kamu yang bernama Uwais bin ‘Amir?”, sehinggalah ‘Umar bertemu dengan Uwais, lalu ‘Umar mendekati Uwais dan bertanya lagi, “Adakah engkau benar-benar Uwais bin ‘Amir?” Uwais pun menjawab, “Ya.” ‘Umar bertanya lagi, “Benar engkau dari Murad dan Qaran?” Uwais menjawab, “Ya.” ‘Umar bertanya lagi, “Adakah engkau memiliki penyakit kulit tetapi sudah sembuh kecuali hanya yang tinggal sebesar satu dirham?” Uwais menjawab, “Ya.” ‘Umar bertanya lagi, “Benar engkau mempunyai seorang ibu?” Uwais menjawab, “Ya.”

    ‘Umar berkata, “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Nanti akan datang seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan kumpulan dari Yaman. Dia berasal dari Murad dan Qaran. Dia memiliki penyakit kulit kemudian sembuh darinya kecuali sebahagian kecil sebesar satu dirham.

    Dia ada seorang ibu dan dia sangat berbakti padanya. Seandainya dia berdoa kepada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dipohonkannya. Jika engkau mampu agar dia mahu memintakan kepada Allah supaya engkau diampuni, mohonlah kepadanya supaya dia memohonkan keampunan kepada Allah bagimu.”

    ‘Umar pun bertanya pada Uwais, “Engkau hendak ke mana?” Uwais menjawab, “Kufah”. ‘Umar pun berkata, “Tidakkah engkau mahu aku menulis surat kepada penguasanya?” Uwais menjawab, “Aku lebih suka menjadi orang yang lemah (miskin).”

    Tahun berikutnya, ada seorang dari kalangan terhormat dari mereka pergi berhaji dan dia bertemu Sayyidina ‘Umar. Sayyidina ‘Umar pun bertanya tentang Uwais. Orang yang terhormat tersebut menjawab, “Aku tinggalkan Uwais dalam keadaan rumahnya miskin dan barang-barangnya sedikit.” ‘Umar pun berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

    “Nanti akan datang seseorang bernama Uwais bin ‘Amir bersama serombongan kumpulan dari Yaman. Dia berasal dari Murad kemudian dari Qaran. Dia memiliki penyakit kulit kemudian sembuh darinya kecuali sebahagian kecil sebesar satu dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan sangat berbakti kepada ibunya. Seandainya dia berdoa pada Allah, maka akan diperkenankan apa yang dipintanya. Jika engkau mampu agar dia meminta kepada Allah supaya engkau diampuni, mintalah kepadanya.”

    Orang yang terhormat itu pun mendatangi Uwais, dia pun meminta kepada Uwais: “Mintalah keampunan kepada Allah untukku.” Uwais menjawab, “Bukankah engkau baru saja pulang dari safar yang baik (iaitu haji), mintalah keampunan kepada Allah untukku.” Orang itu mengatakan kepada Uwais, “Bukankah engkau telah bertemu Sayyidina ‘Umar?” Uwais menjawab: “Ya.” Uwais pun memintakan keampunan kepada Allah untuknya.

    Orang lain pun tahu akan keistimewaan Uwais. Lantaran itu, dia mengasingkan diri menjauh dari manusia.”

    Hukum anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa

    Hukum derhaka kepada kedua ibu bapa termasuk di antara dosa besar sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:

    “Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah dia dosa besar?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Menyekutukan Allah.” Dia (orang Arab itu) berkata lagi: “Kemudian apa?”, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Kemudian menderhaka kepada kedua ibu bapa…”. (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Oleh itu, elakkanlah dari membuat kedua ibu bapa terguris hati, menangis kerana terluka sebab salah satu di antara tanda-tanda di mana anak tergolong sebagai orang yang derhaka kepada ibu bapanya ialah membuatkan hati mereka terluka sehingga menyebabkan mereka menangis.

    Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya, menyebabkan kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar.

    Apa yang dimaksudkan dengan derhaka ialah apa sahaja perbuatan yang boleh menyinggung atau menyakiti hati kedua ibu bapa. Begitu juga dikira derhaka jika anak tidak menurut perintah mereka. Ini kerana taat perintah kedua ibu bapa hukumnya adalah wajib.

    Sebagai kesimpulan, seorang anak perlu menyedari betapa seorang ibu atau bapa itu memerlukan pertolongan atau bantuan anak-anak ketika mereka sudah berumur lanjut.

    Setiap anak-anak bertanggungjawab untuk sentiasa menghormati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa mereka yang sudah berumur lanjut dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka ter-jamin.

    Janganlah sesekali mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka serta sentiasa mendoakan mereka agar mereka mendapat perlindungan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

    Ingatlah bahawa keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Keredhaan Tuhan (kepada hambaNya) terletak pada keredhaan bapa (begitu juga ibu bahkan lebih utama), manakala kemurkaan Tuhan (kepada hambaNya) adalah terletak pada kemurkaan bapa.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

    Hadits di atas menjelaskan bahawa untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta‘ala, seorang anak perlu mendapatkan keredhaan kedua ibu bapanya.

    Ini kerana menta‘ati dan menghormati kedua ibu bapa adalah merupakan perintah Allah Ta‘ala.

    Oleh itu, sesiapa yang menta‘ati kedua ibu bapa maka dia telah menta‘ati Allah Ta‘ala dan siapa yang tidak menta‘ati kedua ibu bapanya maka sesungguhnya Allah Ta‘ala akan murka kepadanya. Sesiapa yang derhaka kepada kedua ibu bapanya hukumnya adalah berdosa besar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...