Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Jangan abaikan ibu bapa yang berumur lanjut

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    SIRI SATU

    Anak merupakan amanah Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang dipertanggungjawabkan kepada para ibu dan bapa.

    Ibu bapa yang mengetahui akan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka sememangnya akan berusaha sedaya upaya mengasuh, mendidik dan membimbing anak-anak mereka sehingga mereka menjadi orang yang berguna nanti setelah anak-anak itu dewasa sehingga mendirikan rumah tangga.

    Asuhan, didikan dan bimbingan yang baik dari ibu bapa akan menjadikan anak-anak itu orang yang berguna dan bertanggungjawab. Kemudian setelah kedua ibu bapa semakin tua dan lanjut usia mereka pula yang akan memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka. Begitulah lumrah kehidupan yang silih berganti.

    Apa yang menyedihkan, terdapat sebilangan anak-anak yang lupa akan pengorbanan yang telah ibu bapa lakukan itu. Tanggungjawab yang sepatutnya dipikul dengan penuh kesabaran menjadi satu bebanan yang membimbangkan mereka. Anak-anak seperti ini sesuai diibaratkan seperti pepatah Melayu yang berbunyi ‘bagai kacang lupakan kulit’.

    Definisi warga tua
    Menurut Kamus Dewan, warga tua didefinisikan sebagai ahli keluarga yang sudah tua atau lanjut usia. Biasanya warga tua dapat dikesan melalui ciri-ciri fizikal seperti muka berkedut, badan lemah, kabur penglihatan dan sebagainya. Selain daripada itu, warga tua juga dapat dilihat daripada biologinya, sebagai contoh berlaku ‘menopause’ kepada wanita dan “andropaus” kepada lelaki.

    Pada usia ini, kebiasaannya mereka menghendaki dan memerlukan perhatian dan kasih sayang kerana tahap perkembangan usia mereka akan menurun ke tahap seperti kanak-kanak. Di Negara Brunei Darussalam, definisi warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

    Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala, usia lanjut ialah batasan akhir umur di mana keadaan seseorang itu menjadi lemah sebagaimana keadaan di awal umur ketika masih anak damit.

    Setelah kedua ibu bapa semakin tua dan lanjut usia anak pula yang akan memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka.

    Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa yang berumur lanjut
    Apabila ibu bapa kita mencapai umur lanjut, adakalanya bermacam-macam kerenah yang kita hadapi sebagai seorang anak. Ada yang sikapnya semakin cerewet, ada juga yang semakin mudah tersinggung perasaan, ada juga yang semakin hilang daya kewarasan dan sebagainya. Semua ini tidak syak lagi merupakan ujian atau dugaan yang amat besar kepada anak-anak.

    Dalam sebuah hadits ada disebutkan bahawa seorang anak akan dipandang hina dan tidak akan masuk syurga jika dia mencuaikan atau tidak berbuat baik kepada ibu bapanya yang sudah tua atau berumur lanjut. Ini jelas sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda yang maksudnya:

    “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina.” Baginda ditanya: “Siapakah (yang hina itu) wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati kedua ibu bapanya ketika mereka dalam keadaan tua sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak masuk syurga.” (Hadits riwayat Muslim)

    Sebagaimana dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadits di atas bahawa hadits tersebut mendorong anak-anak untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang sudah lanjut usia dan ketika berkeadaan lemah dengan berbakti dan memberikan nafkah atau seumpamanya, kerana dengan berbuat demikian akan mendapat pahala yang besar dan dijanjikan masuk syurga. Namun jika anak-anak berbuat sebaliknya iaitu tidak berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka, maka akan dipandang hina oleh Allah Ta‘ala dan tidak akan dimasukkan ke dalam syurga.

    Maka seorang anak hendaklah bersabar dalam membuat kebaikan dan berbakti kepada ibu bapa apatah lagi kepada ibu bapa yang berumur lanjut.

    Ini kerana anak-anak tidak boleh melupakan dan menafikan jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa yang amat besar khususnya dalam membesarkan dan mendidik mereka. Jasa mereka tidak akan dapat dibalas walau dengan apa pun juga. Umpamanya pengorbanan ibu semasa melahirkan ada disebutkan dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    “Dan Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan susah payah. Sedang tempoh menghentikan penyusuannya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Apabila dia cukup dewasa dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, dia berdoa: “Ya Tuhanku! Kurniakanlah aku ilham supaya aku tetap bersyukur terhadap ni‘matMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amalan salih yang Engkau redhai, dan kurniakanlah kebaikan kepadaku dengan (mengurniakan kebaikan) kepada zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepadaMu).” (Surah al-Ahqaf: 15)

    Bagaimana mungkin pengorbanan ibu sepertimana disebutkan di dalam ayat Al-Qur’an di atas dapat dibalas oleh anak-anak. Oleh sebab itu, anak-anak wajib melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menjaga hak kedua ibu bapanya apatah lagi ketika mereka sudah berumur lanjut sebagai membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak.

    Antara tanggungjawab anak terhadap ibu bapanya termasuk ibu bapa yang sudah berumur lanjut ialah:

    1. Berbuat baik kepada ibu bapa.
    Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa apatah lagi yang sudah berumur lanjut bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun tetapi merupakan tuntutan syara‘. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa mereka.

    Dalil perintah berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia ini ada disebutkan dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu Wa Ta‘ala berfirman dalam surah al-Isra’ yang tafsirnya:

    “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya berumur lanjut dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah sekali-kali engkau mengatakan kepada keduanya (sebarang perkataan yang boleh menyinggung perasaan seperti perkataan) “ah” dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia (dengan berlemah-lembut dan bersopan-santun). Dan hendaklah engkau merendah diri dengan penuh kasih sayang dan berdoalah (untuk keduanya): “Ya Allah! Kurniakanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku dari kecil (lagi).” (Surah al-Isra’: 23-24)

    Dalam kitab tafsir al-Qurthubi menjelaskan bahawa jika salah seorang atau kedua ibu bapa sudah berumur lanjut iaitu sudah tua dan berkeadaan lemah, maka setentunya ketika inilah mereka lebih memerlukan jagaan atau pemedulian yang lebih banyak daripada sebelumnya sebagaimana halnya kanak-kanak yang sentiasa memerlukan belaian dan kasih sayang ketika masih dalam usia anak damit.

    Sebagai seorang yang beragama, bertanggungjawab dan prihatin serta mempunyai sifat kemanusiaan, kita mestilah menjaga kebajikan mereka kerana sememangnya mereka dalam usia yang lanjut tidak lagi terdaya mengurus diri dan tidak berkeupayaan dalam membuat kerja hariannya. Inilah masanya mereka sangat memerlukan anak-anaknya dalam menguruskan hari-hari mereka yang mendatang.

    Sesuai dengan maksud perkataan “dalam jagaan atau peliharaanmu” dalam ayat Al-Qur’an di atas memberikan gambaran betapa ibu bapa yang lanjut usia sangat memerlukan perlindungan dan belaian kasih sayang ketika mereka sudah tua dan dalam keadaan lemah sebagaimana dijelaskan dalam kitab tafsir al-Alusi.

    Namun begitu, perlu diingat, perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan saja ketika mereka sudah berumur lanjut, bahkan ketika mereka belum sampai lanjut usia pun Allah Ta‘ala dan RasulNya, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk berbuat baik kepada mereka.

    Ayat-ayat Al-Qur’an yang memerintahkan untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa, antara tafsirnya ialah:

    “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengikat perjanjian dengan Bani Israel (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa …” (Surah al-Baqarah: 83)

    “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan suatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa …” (Surah an-Nisa’: 36)

    “Katakanlah: “Marilah aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu ke atas kamu, iaitu jangan kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa …” (Surah al-An‘am: 151)

    Dalam sebuah hadits, ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    “Apakah amalan yang lebih disukai Allah Ta‘ala? Rasulullah bersabda: “Sembahyang pada waktunya.” Beliau bertanya lagi: “Kemudian apa?” Rasulullah bersabda lagi: “Kemudian berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Beliau bertanya lagi: “Kemudian apa?” Rasulullah bersabda lagi: “Berjihad di jalan Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Oleh yang demikian, tidak dinafikan lagi bahawa anak wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapa sebagaimana disebutkan dalam ayat-ayat Al-Qur’an dan hadits di atas.

    2. Berbahasa dengan lembut dan sopan.
    Dalam menjaga ibu bapa yang sudah dalam keadaan tua atau uzur, anak-anak hendaklah berbahasa dengan bahasa yang lembut dan sopan santun dan jangan sekali-kali menyinggung perasaan mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan yang mulia sebagaimana di- sebutkan dalam ayat di atas.

    Walau bermacam-macam kerenah yang mereka lakukan ketika dalam usia lanjut ini, maka anggaplah ia sebagai cubaan atau dugaan. Cubaan atau dugaan yang diterima dengan baik dan ikhlas setentunya akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.

    3. Jangan menghina atau menengking.
    Sebagaimana disebutkan sebelum ini, bahawa apabila ibu bapa sudah uzur atau mencapai umur lanjut, bermacam-macam kerenah yang dihadapi oleh anak-anak. Oleh itu, menjaga atau memelihara mereka dalam keadaan ini merupakan cubaan yang sangat mencabar.

    Ada di antara mereka yang dapat bersabar dan ada juga yang tidak dapat bersabar dengan cubaan-cubaan sebegini dan mungkin ada yang sanggup menghina dan menengking umpamanya ketika mendapati mereka membuang air besar atau kencing maka janganlah mereka dicaci ketika membersihkan air kencing atau kotoran mereka dengan perkataan-perkataan yang buruk seperti mengatakan mereka pengotor ataupun sebagainya.

    Ingatlah bahawa larangan menengking kedua ibu bapa jelas disebutkan dalam Al-Qur’an sebagaimana disebutkan sebelum ini yang tafsirnya “dan janganlah engkau menengking keduanya”.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...