Jangan abaikan keselamatan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Walaupun Hari Raya Aidilfitri telah memasuki hari keempat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan semasa menyambutnya lebih-lebih lagi negara masih melalui fasa wabak COVID-19.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sama-sama mempraktikkan penjarakan sosial bagi keselamatan semua mengikut garis pandu yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan.

JBP dalam kenyataannya, hari ini, mengongsikan statistik kebakaran rumah yang diterima bagi seluruh negara mulai Januari hingga April 2020 iaitu 30 panggilan yang melibatkan anggaran kerugian bernilai $1,160,930.

Menurut kenyataan, punca utama kebakaran rumah adalah daripada peralatan elektrik seperti lebih beban, sambungan yang longgar, sudah usang atau lama, perunan atau kebakaran rumput yang melarat, kes yang meragukan atau incendiary, masakan yang ditinggalkan dan hos liquefied petroleum gas (LPG) yang bocor atau longgar.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai agar jangan meninggalkan masakan dan memeriksa komponen-komponen dapur memasak seperti kepala gas LPG dan sebagainya.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa pengawasan, hindarkan penggunaan tenaga elektrik yang berlebihan dan pastikan untuk mematikan mana-mana suis peralatan elektrik yang tidak digunakan, memastikan pendawaian dalam keadaan baik dan membuat pemeriksaan dengan syarikat yang bertauliah dan diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Elektrik.

Selain itu, pastikan rumah dilengkapi dengan peralatan keselamatan kebakaran seperti alat pemadam api, selimut api ataupun alat pengesan asap dan tidak meninggalkan warga emas, orang yang berkeperluan khas dan kanak-kanak kecil bersendirian apabila meninggalkan rumah.