Jangan ambil kesempatan dalam kesempitan

Semenjak negara kita dibelenggu ancaman penularan wabak COVID-19, pelbagai aspek telah terkesan dengan impak virus berkenaan. Sehinggakan ada yang dibelenggu permasalahan kewangan akibat hilang mata pencarian malah ada yang diberhentikan kerja.

Sehubungan itu juga, tanpa kita sedari sesetengah peniaga di negara ini mengambil kesempatan dalam kesempitan menaikkan harga jualan khususnya barangan dapur secara berlebihan. Mungkin bagi sesiapa yang memiliki kelebihan tidak begitu terasa ketika berbelanja tidak seperti mereka yang berpendapatan rendah.

Bagi kami yang berpendapatan rendah kenaikan harga barangan dapur ini begitu membebankan kami dan kami terpaksa membelinya kerana semua itu keperluan setiap hari. Di samping itu juga, hasil daripada pemantauan saya sendiri sesetengah peniaga sayur-sayuran turut mengambil kesempatan ketika berniaga. Sebahagian peniaga menjual sayur yang hanya tumbuh di belukar atau di bahu jalan seperti sayur pakis dan lamiding yang dijual dengan harga $2 seikat.

Malahan beberapa harga sayuran di pasar raya yang beberapa minggu lalu hanya $1 kini naik $1.50, mungkin sen-sen kenaikan itu sedikit bagi orang berpendapatan tinggi, namun bagi kami? Apabila kami merungut kemahalan, kami pula menerima herdikan atau jelingan peniaga.

Seperti saya sendiri seorang penerima pencen bulanan setiap hujung bulan, terpaksa berjimat cermat membelanjakan wang yang diterima dan ini pula kami ditindas oleh sesetengah peniaga. Kami sebagai pembeli harapkan kejujuran dalam penjualan barangan dan berharap para peniaga tidak sesuka hati memberi harga yang tidak masuk akal.

Yang kemahalan